GUA MUSANG – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kereta yang berpusing selepas dipercayai terlanggar lopak air di Kilometer 6, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Tanah Putih di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Fakrul Aiman Che Azri, 18, yang menunggang motosikal jenis jenis Yamaha Ego disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki berusia 33 tahun memandu kereta jenis Proton Persona bersama seorang penumpang sedang dalam perjalanan dari Kampung Tanah Putih ke Bandar Lama Gua Musang.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai terlanggar lopak air sehingga kereta tersebut berpusing.
“Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas ke bahu kanan jalan.
“Penumpang kereta tersebut mengalami luka pada bahagian kepala manakala mangsa yang maut di lokasi kemalangan dibawa ke Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














