PETALING JAYA – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini membuat laporan polis terhadap Albert Tei atas dakwaan melemparkan tuduhan fitnah yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu rakaman video.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Shamsul Iskandar menegaskan bahawa tuduhan yang mendakwa kononnya Perdana Menteri mengarahkan rakaman terhadap beberapa ahli politik Sabah adalah satu tohmahan jahat untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
“Ini adalah satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej YAB PM dan merosakkan reputasi kerajaan, lebih-lebih lagi dalam musim pilihan raya negeri,” katanya.
Beliau turut menyatakan pendiriannya untuk tidak membiarkan mana-mana pihak mempergunakan nama atau jawatannya terdahulu bagi tujuan menjatuhkan kerajaan atau mencemar nama baik Anwar.
Iskandar turut memberi jaminan akan bekerjasama penuh dengan pihak polis dan mana-mana agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.
“Saya yakin pihak PDRM akan memulakan siasatan segera terhadap dakwaan ini,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.















