BEREGU lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian kini mengejar masa untuk memastikan mereka cergas sepenuhnya menghadapi Terbuka Malaysia selepas bergelut dengan isu kecederaan.
Sebelum ini, Haikal bergelut dengan kecederaan dan bersedia untuk bangkit semula tetapi sebaliknya berlaku apabila kini giliran Hon Jian pula diketepikan akibat koyak otot bahagian abdomen kira-kira lima sentimeter.
Haikal mengakui situasi itu agak mengganggu momentum terutama memperbaiki ranking dunia yang jatuh mendadak daripada kedudukan ke-18 ke kelompok 50 terbaik dunia.
Jelasnya, Hon Jian mula mengadu sakit ketika separuh akhir di Finland sebelum ini, namun tetap memaksa diri beraksi di Jepun dan Australia dengan bantuan ubat tahan sakit.
“Memang betul, sebelum ini saya cedera dan bila sudah dapat rentak, Hon Jian pula cedera.
“Di Jepun dia rasa okey sikit tapi masih sakit dan bila main di Australia, rupanya ada koyak (kecederaan otot) kira-kira lima sentimeter di bahagian abdomen,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.
Menurut Haikal, rakannya itu kini mendapatkan rawatan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN) dan berharap sempat pulih sebelum Terbuka Malaysia dari 6 hingga 11 Januari tahun depan.
Buat masa ini, Haikal tidak mempunyai sebarang ‘pelan B’ atau perancangan untuk berganding dengan pemain lain, sebaliknya sedia menunggu Hon Jian pulih sepenuhnya.
“Saya hanya tunggu dia pulih untuk buat comeback (kebangkitan). Harapan saya tahun depan untuk meraih semula gelaran juara, tak kisah taraf Super 300 demi menaikkan semula ranking kami sebelum ini No. 18 dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE















