fbpx
BENCANA banjir yang kini melanda negara menyebabkan banyak rumah di kawasan rendah ditenggelami air.

Kisah Cik Nah dan rumah pusaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Membaca status dalam media sosial seorang rakan yang rumahnya dinaiki air di Selangor hujung minggu lalu membuatkan penulis bersama rakan lain berasa bimbang, bertanyakan pelbagai soalan lantas menitipkan doa agar bencana alam itu tidak seteruk yang dialaminya empat tahun lalu.

Selang beberapa minit, rakan yang kami panggil Cik Nah telah siap mengemas barangan keperluan penting, menyusun barangan elektrik di bahagian dapur ke tempat yang lebih tinggi dan suaminya juga sudah memindahkan dua buah kereta serta motosikal ke kawasan yang selamat.

Cik Nah telah berdepan bencana yang teruk empat tahun lalu dengan hampir 70 peratus di aras bawah rumah teres dua tingkat itu musnah ditenggalami air sehingga terperangkap di aras atas tanpa makanan dan minuman.

Usah dikira wang ringgit yang keluar untuk membaiki rumah khususnya daripada aspek pendawaian elektrik, membersihkan rumah dan pelbagai lagi sehingga dia tiada hati lagi mahu membuat pengubahsuaian rumah, membeli perabot baharu dan menghias seni reka dalaman rumah.

Sebelum banjir besar melanda Selangor pada tahun 2021, Cik Nah pernah berbincang dengan suaminya untuk berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat.

Bagaimanapun dilema rumah pusaka yang diwariskan kepada mereka membuatkan pasangan suami isteri ini berasa sangat bersalah malah terjerat dengan kos kehidupan yang semakin meningkat sekiranya mahu mencari kediaman yang lebih baik.

Jika mahu dijual atau disewanya, siapa pula yang mahu mendiami rumah berkenaan, malah nilai kediaman tersebut juga jatuh merudum di pasaran hartanah, selain itu, jika mahu menyewa di rumah lain, pastinya bajet bulanan akan terjejas juga memandangkan mereka bekerja sendiri.

Dilema dan isu yang dihadapi ini bukan sahaja dibebani oleh Cik Nah tetapi juga ramai lagi penduduk yang tinggal di rumah sentiasa dilanda bah termasuk banjir kilat.

Selagi pinjaman atau pembiayaan rumah belum habis bayar, redakan diri untuk berdepan ujian Allah, mungkin jika ada pilihan, boleh membuat alternatif lain dengan menyewa atau membeli kediaman lain di kawasan yang selamat, maknanya komitmen bulanan semakin bertambah.

Namun jika difikirkan semula dengan trauma, dilema dan masalah yang dihadapi oleh Cik Nah dan penduduk yang lain, ia akan menjadi petunjuk kepada pembeli rumah pertama untuk membuat keputusan terbaik sebelum membeli kediaman sendiri di bandar baharu atau di sekitar Lembah Klang.

Mahu memilih rumah bertanah atau kondominium, masing-masing ada pro dan kontranya sama ada di kawasan berdekatan bandar yang harganya agak mahal atau memilih untuk berada jauh di pinggir bandar dengan harga rumah yang boleh dikatakan agak berpatutan.

Nasib mereka seperti diperjudikan jika tersalah pilih kawasan perumahan, oleh itu sebelum membuat sebarang keputusan, buat kajian sendiri, selidik sejarah kawasan sebelum diteroka dan juga pelan alternatif serta perancangan kewangan jika terjebak dengan musibah tersebut pada masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN