SHAH ALAM – Pengasas eHati dan kaunselornya dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas gagal hadir bagi pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Hakim Syarie Dr. Zainal Abidin Kusmin mengeluarkan perintah itu terhadap Nur Diyanah Md. Tahir yang beralamat di Damansara dan Zatul Asmah Mat Isa di Nibong Tebal, Pulau Pinang selepas permohonan dikemukakan Pendakwa Syarie Husaini Roslin.
Mahkamah turut mengarahkan carian Imigresen terhadap pengasas program motivasi kontroversi tersebut, manakala penguat kuasa Jabatan Agama Islam diberi kuasa menahan kaunselor itu yang juga pegawai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di utara Semenanjung.
Terdahulu, penjamin kepada Nur Diyanah berkenaan memaklumkan beliau tidak mengetahui keberadaan wanita itu.
“Kami kenal sejak 2021 atas kawan. Saya jadi penjamin pun atas dasar kasihan. Keluarga mereka pun tidak menolong,” katanya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Mac depan.
Ini menjadikan pengasas eHati berkenaan kini mempunyai dua waran tangkap dengan sebelum ini dikeluarkan Mahkamah Jenayah Shah Alam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menyatakan pengasas program motivasi bersama suaminya yang dikehendaki kini berada di sebuah negara di Asia Tenggara.
Hasil semakan mendapati kedua-dua mereka melarikan diri menggunakan laluan sah sehari sebelum pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE














