PETALING JAYA – Seorang wanita warga Indonesia diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan dalam serbuan di Batu Caves, di sini Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ketika serbuan mangsa berusia 56 tahun itu ditemui dalam keadaan ketakutan dengan bersembunyi di bawah kenderaan pacuan empat roda.
“Siasatan awal mendapati mangsa diarah berbuat demikian oleh majikannya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Mangsa bekerja sebagai amah selama hampir 16 tahun tanpa pas yang sah. Lebih menyedihkan, dia hanya dijanjikan gaji RM600 sebulan, namun tidak menerima bayaran sejak dua tahun lalu.
“Ketika diselamatkan, mangsa trauma kerana sering dimarahi dan pernah dipukul majikan. Pasportnya juga tiada dalam simpanan sendiri, malah komunikasi disekat apabila tidak dibenarkan memegang telefon bimbit selain dilarang menghubungi keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa turut dipaksa bekerja tanpa waktu rehat dan terpaksa mencuri masa untuk tidur kerana beban kerja berterusan.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dipercayai majikan mangsa ditahan dan mengaku mendapatkan khidmat wanita tersebut melalui ahli keluarga terdekat.
“Operasi itu menggunakan pendekatan kenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) berasaskan garis panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
“Siasatan dibuka di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE















