PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabatnya di Kangar, Perlis mulai hari ini sehingga dimaklumkan kelak berikutan peningkatan paras banjir di kawasan tersebut.
KWSP dalam kenyataan memaklumkan, langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan ahli dan anggota KWSP.
“KWSP sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan penyedia perkhidmatan untuk memantau keadaan dan sebarang kemas kini akan dimaklumkan secepat mungkin,” jelas kenyataan itu.
KWSP berkata, ahli yang mempunyai temu janji sedia ada dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka.
“Sementara transaksi yang penting boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun untuk perkhidmatan terpilih,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan transaksi KWSP, ahli boleh menghubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 03-8922 6000 atau merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. – KOSMO! ONLINE















