LAS VEGAS – Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta tidak menolak kemungkinan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bakal beraksi di litar jalanan yang kini digunakan dalam kalendar perlumbaan Formula Satu (F1).
Sebelum ini timbul spekulasi bahawa pengambilalihan hak komersial MotoGP oleh pemilik F1, Liberty Media bakal membuka ruang untuk perkongsian venue antara dua gergasi sukan permotoran itu.
Ezpeleta memuji penganjuran perlumbaan Grand Prix (GP) Las Vegas baru-baru ini, namun menegaskan aspek keselamatan pelumba kekal menjadi keutamaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kami tidak mempunyai masalah untuk berlumba di litar jalanan. Satu-satunya perkara yang kami perlukan adalah zon selamat (run-off areas) dan ia sukar untuk dilaksanakan di Las Vegas.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa litar jalanan F1 lain yang mungkin boleh kami gunakan.
“Bagi kami, keselamatan adalah aspek paling penting. Sejak kami mengambil alih kejuaraan ini pada 1992, itu adalah komitmen kami kepada pelumba dan kami tidak akan berkompromi mengenainya,” katanya.
Ezpeleta turut memberi contoh GP Indonesia di Mandalika yang diklasifikasikan sebagai litar separa jalanan sebagai bukti konsep itu boleh dilaksanakan.
Setakat ini, lima litar kekal F1 sudah menjadi tuan rumah kepada MotoGP iaitu Losail (Qatar), Austin (Amerika Syarikat), Barcelona (Sepanyol), Red Bull Ring (Austria) dan Silverstone (Britain).
F1 kini semakin agresif memperkenalkan litar jalanan seperti di Jeddah, Baku, Singapura dan di Madrid tahun depan. – AGENSI















