PETALING JAYA – Menghargai jasa orang tua, pelakon Amyra Rosli menghadiahkan ibu bapanya sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 34, memberi kejutan dengan ucapan istimewa menerusi panggilan video sebelum muncul sambil menyerahkan kunci kereta baharu.
“Sayang kamu berdua dunia akhirat. Terima kasih daddy (Amar), adik-adik dan anak-anak kerana rahsiakan kejutan ini,” tulisnya dalam hantaran video di Instagram.
Kejutan anak sulung daripada empat bersaudara itu membuatkan ibu bapanya mengalirkan air mata.
Sebelum itu, dalam video terbabit ibunya juga bekas pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat rakaman, Noor Zaridah Ahmad, dan bapanya, Rosli Ahmad, tampak tertanya-tanya apabila sebuah kereta memasuki pekarangan rumah.
Amyra yang kemudian menyerahkan kunci kereta kepada mereka terus memberikan pelukan buat insan kesayangannya itu.
Perkongsian tersebut meraih maklum balas netizen yang menzahirkan perasan sebak melihat situasi menyentuh hati.
Ramai mendoakan kebahagiaan mereka sekeluarga selain menyifatkan isteri kepada pelakon, Amar Baharin itu sebagai anak yang mengutamakan orang tuanya.
“Masya-Allah. Amyra adalah anak yang meratukan ibu bapa. Semoga dilimpahkan lagi rezeki,” tulis netizen.
“Anda menempah syurga kerana menjaga syurga anda. Semoga saya juga dapat membahagiakan ibu bapa saya seperti ini,” kata pengikutnya.
Terdahulu, pelakon drama Bunga Salju itu sememangnya kerap memberikan hadiah kepada ibu bapanya ketika hari istimewa termasuk kerusi urut mewah. – KOSMO! ONLINE















