fbpx
Siti Norina (dua dari kanan) bertanya khabar mengenai tahap kesihatan Mohd. Izham semasa menyantuni calon SPM di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Patah tulang paha tak halang calon hadir jawab SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kecederaan patah tulang paha kanan akibat kemalangan bulan lalu tidak menghalang seorang calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini hari ini.

Mohd. Izham Ruzaini Zakaria, 17, cedera apabila motosikal yang dia tunggang terbabas ketika dalam perjalanan pulang selepas menyaksikan program Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza di Sungai Kelantan pada 10 Oktober lalu.

Katanya, akibat kemalangan itu, dia tidak dapat hadir ke sekolah dan hanya belajar di rumah selepas lima hari menerima rawatan di hospital.
“Saya sempat hadir Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebelum kemalangan.

“Sepanjang tempoh rawatan, saya belajar di rumah seorang diri. Selain nota yang diberikan rakan-rakan melalui WhatsApp, saya juga banyak membuat rujukan melalui TikTok dan YouTube,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Sultan Ismail di sini hari ini.

Mohd. Izham memberitahu, meskipun dalam keadaan bertongkat, dia tetap gagahkan diri untuk hadir menjawab kertas Bahasa Melayu 1 dan 2 di sekolahnya hari ini.

Menurutnya, dia mengakui bahawa ketidakhadiran ke sekolah selama tempoh lebih sebulan sedikit sebanyak merencatkan persiapannya untuk menjawab SPM

“Memang saya mengulang kaji pelajaran di rumah, tetapi ia tidak sama seperti di sekolah. Kecederaan ini bukan menjadi halangan untuk saya mencapai sasaran 6A dalam SPM.

“Saya berhasrat untuk menyambung pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk mencapai cita-cita di dalam bidang pengimpalan selepas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI