JOHOR BAHRU – Alat pengimbas logam atau ‘metal detector’ digunakan bagi menyaring calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Johor sebagai langkah keselamatan bagi memastikan tiada pelajar membawa peralatan terlarang, termasuk gajet rakaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, setiap pusat peperiksaan di negeri ini telah dibekalkan sekurang-kurangnya seunit alat bagi tujuan pemeriksaan harian sebelum calon memasuki dewan.
Menurutnya, langkah itu bukan sekadar memantau keselamatan malah menjadi peringatan tegas kepada pelajar agar tidak mencuba membawa sebarang alat yang boleh menjejaskan ketelusan peperiksaan.
“Ini untuk elak apa saja benda dilarang, zaman sekarang macam-macam alat boleh merakam.
“Alat pengesan ini digunakan setiap sesi peperiksaan, sama ada pada waktu pagi atau petang, bagi memastikan tiada ruang untuk calon menyembunyikan apa-apa barangan mencurigakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di SMK Sultan Ismail, di sini hari ini.
Aznan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tidak menolak kemungkinan kaedah sama bakal dilaksanakan pada hari persekolahan biasa tahun hadapan bagi mendidik pelajar supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 49,654 calon menduduki peperiksaan SPM bertulis hari pertama di seluruh Johor hari ini, termasuk pelajar sekolah kerajaan, swasta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan calon persendirian.
“Alhamdulillah, setakat hari pertama ini, semua pusat peperiksaan di Johor dibuka seperti biasa dan tiada calon terjejas akibat banjir. Cuaca pun tidak menentu, tapi semuanya berjalan lancar,” katanya.
Tambahnya, persiapan rapi telah dilakukan melibatkan kerjasama pejabat daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dibuat lebih awal, terutama bagi sekolah yang berpotensi dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir. – KOSMO! ONLINE














