PETALING JAYA – Tanpa pembantu rumah bukan hal mudah bagi sesetengah keluarga, namun pelakon Elfira Loy mengakui mampu menguruskan anak-anak sendirian hasil sokongan komuniti ibu lain.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Ahmad Sabri, 31, berkata pemikirannya banyak berubah selepas bergaul dengan lebih ramai suri rumah serta ibu yang berkongsi pengalaman serta rutin masing-masing.
“Apa yang saya nak ceritakan waktu itu, dulu saya rasa sangat susah. Rasa tak patut buat kerja rumah sendirian, sepatutnya kena ada pembantu atau suami pun perlu sama-sama tolong.
“Apabila bergaul dengan kelompok lain terutama suri rumah, kita baru sedar dugaan menguruskan anak-anak adalah normal. Sebenarnya sentiasa ada cara untuk buat rutin ini jadi menyeronokkan.
“Memang tak semua orang nampak jalan itu tapi insya-Allah, dengan tunjuk ajar ibu lain tugasan ini jadi mudah. Sokongan insan sekeliling sangat penting,” katanya kepada Kosmo! Online pada pelancaran koleksi sukan Cakenis, baru-baru ini.
Pada masa sama, dia turut menetapkan masa khusus untuk diri sendiri agar tidak terlalu beban dalam menguruskan kehidupan serta rumah tangga.
“Sebab itu saya tak terlalu fokus atau beri 100 peratus jadi ibu, lepas hantar anak saya nak masa relaks. Saya pergi main pickleball sekejap.
“Asalkan jadual itu tepat, semua kerja ada jadual jadi mudah,” tuturnya.
Mengulas dakwaan kononnya dia mempunyai pembantu rumah hanya kerana kerap melakukan aktiviti riadah, pelakon drama Kerna Syurga Bukan Percuma itu menafikan perkara tersebut.
Dia menegaskan hantaran dalam Threads sebelum ini hanya untuk memberi pesanan kepada ibu lain agar tidak membandingkan diri dengan orang lain selain mahu bertukar pandangan tentang urusan anak-anak.
“Selamat datang ke rumah saya, tengok mana ada pembantu rumah. Semua orang nak, siapa tidak mahu. Bukan saya muat naik kata saya boleh buat semua, usaha kita buat sebenarnya terbantut sebab selalu bandingkan dan tak jumpa jalan.
“Orang rasa ibu kena pandai dan tahu, ada setengah yang tengok orang lain baru faham. Itu mesej yang saya nak sampaikan.
“Ke hadapan nanti, saya akan akan ada cabaran baru, dengan perkongsian tersebut ibu lain akan ceritakan kepada saya.
“Contohnya, tahun hadapan anak saya tujuh tahun. Dunia baru, saya tidak tahu macam mana nak pilih sekolah. Dengan nasihat ibu-ibu lain dapat membantu saya,” kongsinya.
Berkongsi mengenai penggunaan pembantu rumah, Elfira mendedahkan dia pernah menggaji beberapa orang sebelum akhirnya memilih untuk menguruskan anak sendiri.
“Saya mampu (jaga anak) alhamdulillah, saya pernah lima kali tukar pembantu rumah. Ada yang tak kena macam anak saya tidak okey.
“Bila saya serahkan kerja kepada pembantu rumah untuk pergi penggambaran, dia tidak mahu teruskan. Macam mana dengan jadual yang saya dah ‘lock’?
“Jadi lagi susah kena bayar pihak ketiga untuk jaga anak saya. Saya rasa okey saja, lebih 10 tahun dalam industri, apa salahnya saya berhenti jaga anak,” katanya lagi.
Sebelum ini, Elfira pernah berasa rendah diri apabila membandingkan dirinya melakukan semua urusan rumah tangga sendiri dengan kehidupan wanita lain yang mempunyai pembantu rumah.
Ramai yang memuji semangat dan kecekalan ibu dua anak itu yang dianggap contoh wanita moden berdikari.
Terdahulu, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairul Anuar pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Rayyan Khalaf, 6, dan Nur Aria Mikayla, 4 tahun. – KOSMO! ONLINE















