BUKIT KAYU HITAM – Situasi banjir di Hatyai, Thailand dilaporkan semakin meruncing apabila paras air dikatakan terus meningkat sehingga memenuhi lobi hotel di situ.
Pengurus Besar Cuti Cuti Langkawi Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom berkata, tentera Thailand baru sahaja masuk ke hotel dan mengarahkan semua mangsa mengosongkan lobi dan naik ke atas.
“Tentera baru masuk ke hotel dan minta kosongkan lobi. Lobi hotel yang kami diami ini sudah dimasuki air walaupun kedudukan hotel kami ini berada di tempat tinggi di Hatyai.
“Makanan mungkin terhenti sebab dapur hotel telah dimasuki air,” katanya hari ini.
Katanya, paras air terus naik dan banyak kenderaan sudah hilang daripada penglihatan.
“Tadi kami tunggu bantuan bot hampir tiga jam tetapi tiada bot datang, hanya ada pihak konsulat hantar makanan untuk warga emas dan kanak-kanak,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan paras banjir di Hatyai dilaporkan naik semula hari ini selepas surut semalam, dipercayai susulan gelombang kedua banjir. – KOSMO! ONLINE















