SHAH ALAM – Penghuni 70 buah rumah di Taman Sri Lembayung di sini terpaksa berdepan masalah banjir setiap kali berlakunya hujan untuk tempoh yang panjang sejak enam tahun lalu.
Malah, sebahagian penduduk juga sudah lali dengan kejadian itu dan mengakui empat kejadian banjir sudah berlaku sepanjang tahun ini.
Seorang penduduk, S. Lalithan, 28, berkata, kejadian terbaharu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi semalam apabila air melimpah masuk ke rumahnya sehingga paras paha.
Menurut Lalithan, rumah yang dibeli enam tahun lalu itu merupakan hasil usaha bertahun-tahun keluarganya mengumpul wang untuk memiliki kediaman sendiri.
“Rumah ini baru enam tahun diduduki. Tahun pertama 2021, sudah berlaku banjir besar. Selepas itu, hampir setiap tahun berulang,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Jelasnya, biarpun keretanya sempat dipindahkan ke kawasan lebih tinggi, hatinya tetap tidak tenang untuk keluar bekerja kerana bimbang dengan keadaan air yang naik mendadak.
“Hati memang tidak sedap mahu ke tempat kerja. Rumah pun masih ada hutang, kalau mahu beli baru memang tidak mampu,” katanya.
Justeru, beliau meminta agar ada penyelesaian jangka panjang yang konkrit daripada pihak berwajib dalam membantu lebih 70 buah rumah di lokaliti iti.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam menerusi hantaran dimuat naik di Facebook rasmi memaklumkan, sebanyak 12 buah lokasi terjejas akibat hujan lebat dan berterusan di daerah itu.
Antaranya ialah di Taman Desa Kemuning Seksyen 35, Kampung Budiman, Seksyen U14, Kampung Bukit Gajah, Seksyen U17, Giant, Seksyen 13, Jalan Opera, Seksyen U2, Persiaran Jubli Perak,
Seksyen 19 dan Jalan Mat Raji, Padang Jawa Seksyen 16 selain Persiaran Perusahaan, Seksyen 23.
“Di Seksyen 25 pula melibatkan Taman Sri Lembayung, Jalan Mantap 25/126, Jalan Sentosa 25/129 dan Persiaran Budiman,” katanya.















