KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 Januari tahun depan bagi keputusan kerajaan atau enam pihak lain untuk mengesah dan melaksanakan Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak kerajaan dan enam lagi yang dinamakan sebagai responden.
“Saya rasa saya patut menimbangkannya dengan lebih mendalam,” kata hakim itu.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum, dipercepatkan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim berkata, prosiding itu tidak sewajarnya dilengah-lengahkan kerana sebarang kelewatan akan menimbulkan ketidakadilan kepada bekas Perdana Menteri dan kerajaan.
Terdahulu Hasnah yang mengetuai panel tiga hakim secara sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara untuk menghalang supaya semakan yang dikemukakan Najib itu didengar.
Dengan keputusan mahkamah tertinggi itu, semakan tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi seperti tarikh-tarikh yang akan ditetapkan.
Dua lagi hakim ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah. – KOSMO! ONLINE















