PETALING JAYA – Bumbung salah sebuah tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengalami masalah kebocoran sehingga menyebabkan air hujan menitis masuk ke dalam ruangan penumpang susulan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.
Menerusi video tular di media sosial, kejadian tersebut dikatakan berlaku pagi tadi namun setakat ini pihak Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit.
Sementara itu, di ruangan komen beberapa pengguna mendakwa kejadian bumbung tren LRT bocor sudah kerap berlaku terutaka ketika hujan lebat.
“Pihak berwajib perlu lebih cakna isu ini. Asyik berulang masalah sama. Hujan lebat sikit, tren bocor. Tak ada pemantauan kah? Tak akan jadi insiden luar jangka baru nak bertindak,” tegur seorang pengguna.
“Memang patut tukar baru dah semua tren aliran ringan ni dah daif sangat dah, macam-macam masalah. Bahaya untuk pengguna,” kata @Becky. – KOSMO! ONLINE















