SHAH ALAM – “Kau tak layak dipanggil manusia, tetapi binatang.” Demikian luahan seorang ibu selepas pelaku yang membunuh anak lelakinya berusia sembilan bulan empat tahun lalu dijatuhi hukuman atas kesalahan meliwat bayi tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook, pengguna akaun BiEy Adawiah mengakui berasa kesal dengan tindakan pelakunya iaitu suami kepada pengasuh anaknya yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
“Apabila aku dengar DPP (Timbalan Pendakwa Raya) beritahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .Ya Allah gelapnya dunia. Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia! Kau memang Binatang!” katanya.
Wanita itu bagaimanapun bersyukur apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan terhadap tertuduh yang juga seorang penganggur.
“Setelah empat tahun aku menunggu keputusan dengan sabar sama ada kau bersalah atau tidak, hari ini kau dijatuhkan hukuman. Sebelum ini kau tidak mengaku kau buat. Bermainlah anak di taman syurga. Dunia yang kejam ini bukan tempatmu. Semoga kita berjumpa di sana,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan ke atas tertuduh, Mohamed Badruldin Mohamed, 40, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Bagi kes meliwat, tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan, manakala bunuh pula, lelaki itu dipenjara selama 30 tahun dan 12 sebatan. Hukuman penjara itu diarah berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 29 April 2021.
Tertuduh didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini pada pukul 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021. Berdasarkan fakta kes, sampel DNA dan ekstrak air mani tertuduh ditemui di dubur dan usus besar bayi itu.
Hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Perunding Forensik, Dr. Rohayu Shahar Adnan dari Hospital Sungai Buloh mengesahkan wujud kecederaan akibat objek tumpul pada dubur mangsa. Punca kematiannya akibat ‘smothering’ atau keadaan melemaskan. Analisis DNA mengesahkan kehadiran sel sperma tertuduh pada dubur dan rektum bayi.
Terdapat luka koyak dan lebam yang mungkin disebabkan jari atau zakar, sekali gus mengukuhkan dakwaan penderaan seksual terhadap bayi itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim dalam hujahan pemberatnya memohon hukuman mati ke atas tertuduh kerana menganiaya bayi. Ibu bapa mangsa terpaksa bekerja dan menghantar bayi itu kepada isteri tertuduh untuk dijaga, namun diperlakukan sedemikian kerana nafsu serakah.
“Mangsa yang lemah sepatutnya disayangi dan diberi perhatian, bukannya dianiaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE















