PETALING JAYA – Pasukan sukarelawan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk digerakkan sekiranya banjir di di kawasan tersebut bertambah buruk.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Ramanan Ramakrishnan berkata, keutamaan adalah memastikan keselamatan penduduk, menghulurkan bantuan segera dan mengurangkan sebarang risiko tambahan susulan banjir kilat.
“Setakat ini keadaan adalah terkawal dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka kerana keadaan masih terkawal dan paras air sudah mula menunjukkan penurunan.
“Bagaimanapun, kita akan terus memantau situasi bagi memastikan respons kecemasan dapat diambil dengan cepat sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau namun menyeru penduduk Sungai Buloh untuk terus berhati-hati.
Kata beliau, penduduk perlu mengelak melalui kawasan berisiko dan segera melaporkan kepada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh jika memerlukan bantuan.
Terdahulu, Ramanan memaklumkan, beliau menerima makluman tentang banjir kilat di Kampung Kubu Gajah khususnya di Jalan GJH 6, GJH 11, GJH 24 serta kawasan sekitar Mahad Tahfiz Taqwa pagi tadi.
Katanya, beliau telah berhubung dengan agensi penguat kuasa dan penyelamat berkaitan untuk mendapatkan perkembangan terkini dan memastikan penduduk terjejas diberi bantuan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE















