KOTA BHARU – Seorang pesakit buah pinggang dan diabetes tiada pilihan lain apabila terpaksa menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu membawanya ke pusat dialisis selepas rumah di Kampung Pasir Hor di sini semalam dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Sarbani Che Harun, 49, yang tidak mampu berjalan selepas menjalani pembedahan memotong beberapa jari kakinya sukar untuk mengharung banjir sebelum menaiki kenderaan ke pusat dialisis.
Pemangku Pengarah APM Kelantan, Mohd. Farid Ishak berkata, seramai lapan anggota APM meredah banjir sejauh 500 meter dengan mengusung wanita terbabit untuk menaiki ambulans ke sebuah pusat dialisis di Tunjong di sini.
Menurutnya, suami mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an membuat panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.30 pagi semalam sebelum operasi membawa keluar mangsa dijalankan pada pukul 2 petang.
“Wanita itu dibawa dengan ambulans APM ke pusat dialisis dan rawatan itu mengambil masa empat jam sebelum kita menghantar semula mangsa ke rumahnya.
“Sekiranya air banjir belum surut, kita sekali lagi akan membantu APM untuk ke pusat dialisis esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Farid memberitahu, wanita itu perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu dan pihaknya akan terus membantu mangsa sehingga banjir surut. – KOSMO! ONLINE















