BUKIT KAYU HITAM – Paras banjir di Hatyai, Thailand dilaporkan naik semula hari ini selepas surut semalam, dipercayai susulan gelombang kedua banjir.
Pengurus Besar Cuti Cuti Langkawi Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom berkata, hujan masih tidak berhenti sejak semalam dan paras banjir didapati terus meningkat.
“Semalam masih nampak kereta tetapi hari ini sudah ada yang tenggelam dan saya difahamkan gelombang kedua lebih besar. Semalam surut sekejap, hari ini air naik semula,” katanya.
Beliau berkata, semua rakyat Malaysia di Hotel Paradise termasuk kira-kira 40 warga emas dari Kelab Warga Emas Pontian, Johor masih terkandas.
“Kumpulan warga emas ini memerlukan bantuan ubat-ubatan seperti untuk masalah jantung dan darah tinggi. Saya mohon pihak konsulat dapat membawa ubat atau membantu memindahkan warga emas dari hotel ini,” ujarnya.
Menurutnya, ketika ini bekalan elektrik sudah terputus dan tiada lagi bantuan generator.
“Hotel masih menyediakan makanan, namun hanya diberi pada waktu pagi dan tengah hari, manakala malam sudah tiada,” katanya.
Beliau berkata, hujan berterusan sejak petang semalam hingga pagi ini menyukarkan usaha memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas di hotel berkenaan.
Menurut Saryati Suwarno, 54, terdapat ahli rombongan yang memerlukan ubat darah tinggi dan jantung yang sudah kehabisan stok.
Katanya, buat masa ini tiada sebarang usaha daripada pihak Konsulat Malaysia mahupun kerajaan Thailand untuk membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas.
“Saya telah menghubungi pihak konsulat dan dimaklumkan bahawa proses memindahkan rakyat Malaysia mungkin mengambil masa.
“Kami warga emas bergantung kepada ubat-ubatan. Apabila elektrik dan liputan talian telefon terputus, amat sukar untuk kami berhubung dengan pihak luar,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Baharom Darkon, 63, berkata, dia amat memerlukan bantuan daripada pihak Konsulat Malaysia atau kerajaan Thailand bagi membawa keluar warga emas secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE














