Gelombang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini mencetuskan banyak elemen kejutan dengan kemunculan banyak parti-parti lokal termasuk dari Sarawak.
Tidak cukup dengan itu, penyertaan 74 calon yang bertanding atas tiket Bebas turut menarik perhatian, dengan persoalan adakah PRN Sabah ini ‘lubuk’ untuk mendapat gelaran Yang Berhormat (YB).
74 calon Bebas itu bukan angka yang kecil, sebaliknya mereka menjadi kumpulan terbesar daripada keseluruhan 596 calon yang bertanding.
Pada PRN Sabah 2020, seramai 56 calon Bebas mencuba nasib daripada keseluruhan 447 calon. Ketika itu, calon Bebas menang di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sesuatu yang menarik, kehadiran ramai calon Bebas kali ini membuktikan demokrasi Sabah sangat dinamik. Ini menunjukkan ramai individu berani tampil membawa suara sendiri, tanpa bergantung kepada bendera dan jentera parti.
Walaupun peluang mereka berbeza-beza, kewujudan kumpulan ini menambah warna dan pilihan kepada rakyat, sesuatu yang sihat dalam proses demokrasi.
Apa yang pasti, calon Bebas bukan lagi sekadar ‘calon tambahan’ atau dilabel ‘calon hilang deposit’, tetapi mereka adalah suara sebenar kepada denyut nadi rakyat.
Buat pertama kali dalam sejarah, ada kelompok calon Bebas pada PRN Sabah kali ini membentuk pakatan sendiri dikenali sebagai Black Wave’atau Gelombang Hitam.
Black Wave bukanlah sebuah parti politik, tetapi sebuah gerakan calon yang akan bertanding di 17 kerusi DUN.
Mereka dipimpin Ahli Parlimen Bebas dari Kudat, Datuk Verdon Bahanda yang bertanding di DUN Tanjong Kapur.
Selain kumpulan Black Wave, antara nama besar lain yang memilih tiket Bebas ialah bekas Menteri Pelancongan, Seni dah Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi (DUN Segama) dan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Fairuz Renddan (DUN Pintasan).
Hakikatnya, sebahagian besar calon Bebas datang daripada latar belakang masyarakat setempat seperti bekas guru, ahli perniagaan, bekas kakitangan kerajaan, aktivis komuniti, kontraktor kecil dan mereka yang aktif dalam persatuan.
Dalam masa yang sama, ramai calon Bebas berasal daripada kawasan yang mereka tandingi. Mereka yakin hubungan rapat dengan masyarakat tempatan mampu memberi kelebihan berbanding calon parti yang lain yang datang dari luar.
Ada juga dalam kalangan 74 calon Bebas ini merupakan bekas ahli parti politik. Mereka pernah berada dalam jentera parti tertentu, tetapi memilih bergerak solo atas beberapa alasan.
Golongan ini biasanya mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman berpolitik selain mempunyai pengaruh di peringkat akar umbi.
Persoalan kini, adakah 74 calon Bebas ini mampu menawan hati 1,784,843 pengundi berdaftar yang akan membuang undi pada Sabtu ini. Adakah mereka juga mampu membuat kejutan untuk sekurang-kurangnya mengisi sebahagian 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Di akhirnya, mereka ini bukanlah nama besar, namun percaya suara kecil itu mampu membawa perubahan kepada isu-isu akar umbi yang tidak pernah diselesaikan oleh parti-parti besar.














