KUALA LUMPUR – Laporan geoteknikal menyeluruh di kawasan segi tiga emas untuk menilai kestabilan struktur laporan tanah di kawasan berisiko tinggi, bawah rundingan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) diberikan keutamaan kepada Jalan Masjid India.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Ikram untuk mengambil tindakan segera dalam memastikan keselamatan orang awam.
Katanya, tempoh setahun diberikan kepada Ikram untuk menyediakan laporan penuh di 30 kilometer (km) laluan tersebut dengan keutamaan diberikan kepada Jalan Masjid India dalam sebulan.
“Kita telah beri tempoh setahun kepada Ikram untuk menyediakan laporan penuh kajian geoteknikal di 30 kilometer (km) laluan berkenaan.
“Keutamaan diberikan kepada Jalan Masjid India dalam tempoh sebulan kepada Ikram berserta cadangan laporan penuh kajian,” katanya dalam sidang media, pagi tadi.
Sementara itu, Fadlun berkata, tumpuan awal adalah menilai semula laluan pejalan kaki di kawasan berkenaan dengan pemasangan bahan lebih kukuh serta kerja pengukuhan infrastruktur jalan.
“Kita minta Ikram membuka semula laluan pejalan kaki sedia ada untuk membaik pulih laluan dengan rebar (besi keluli) supaya konkrit jalan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025 di Pusat Komuniti Lembah Pantai, pagi tadi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan orang ramai terutama peniaga resah susulan insiden tanah mendap selepas setahun kejadian tanah jerlus di Masjid India pada Ogos tahun lalu.
Fadlun menjelaskan laporan teknikal lengkap penuh kajian geoteknikal di Masjid India perlu disegerakan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Saya sentiasa bersama Ikram dan minta laporan hampir setiap hari. Kita bergantung kepada laporan teknikal sebelum buat keputusan,” tegasnya. –KOSMO! ONLINE















