Dari luar, sebuah studio seni yang terletak di Petaling Jaya, Selangor itu mungkin nampak biasa-biasa sahaja.
Namun bagi Nur Nasrin Mohd. Azharin, 20, dan Azami Zuhdi Fadhli, 20, pintu kaca yang mereka tolak pagi Ahad itu membuka kepada sesuatu yang jauh lebih istimewa kerana di ruang kecil itulah mereka dapat berehat daripada rutin serta menjadi tempat pertama mereka belajar ‘bertutur’ dalam bahasa gula dan krim.
Mereka berdua tiba dengan sedikit gementar, namun teruja. Apa yang sebelum ini hanya dilihat di platform TikTok kini berjaya dicubanya.
Berkongsi dengan CitaRasa, Azami berkata dia mendapat tahu tentang bengkel menghias sendiri kek itu daripada aplikasi TikTok.
“Saya ternampak di TikTok, ada satu content hias kek sendiri sempena hari jadi sendiri dan saya rasa tertarik bila tonton video tersebut.
“Ini kerana saya rasa lagi bermakna sekiranya pada sambutan hari lahir kita, kita dapat hias sendiri kek tersebut, berbanding membeli kek sedia ada,” katanya membuka bicara.
Di Malaysia, bengkel menghias kek semakin mendapat tempat sebagai aktiviti hujung minggu yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi ruang untuk berehat dan berekreasi.
Namun, di negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis, trend itu sudah lama popular, khususnya buat mereka yang mahukan sambutan yang lebih peribadi dan bermakna.
Dari studio-studio kecil di kawasan kejiranan hingga kelas profesional di bakeri terkenal di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, setiap satu menawarkan pengalaman tersendiri.
Ada yang fokus pada teknik asas seperti piping dan buttercream flowers, manakala ada juga kelas khusus untuk Korean minimalist cake, kek vintaj atau dekorasi menggunakan fondant.
Apapun, lazimnya kek yang dihiasi sendiri cenderung lebih dihargai kerana ia menambah sentuhan peribadi atau nilai sentimental pada hari jadi, ulang tahun tertentu dan kejutan istimewa.
Kebanyakan bengkel kini turut menyesuaikan modul mereka untuk pasangan, sahabat atau keluarga, menjadikan aktiviti itu satu cara baharu untuk mengeratkan hubungan sambil mencuba sesuatu yang lembut, manis dan terapeutik.
Pasangan Azami dan Nur Nasrin memilih The Weekend Workshop bagi menghasilkan kek sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nur Nasrin baru-baru ini.
Apabila tiba, mereka masing-masing diberikan sebuah kek ‘kosong’ untuk dihias. Setelah dihias, kek-kek mereka boleh dibawa pulang atau menikmatinya.
Jelas Nur Nasrin, sebenarnya ini bukan kali pertama mereka mencuba aktiviti sebegitu bersama-sama, kerana selain mencuba kelas dekorasi kek, mereka juga sering menjadi sukarelawan di acara-acara larian di sekitar ibu kota.
“Untuk aktiviti hias kek ini, saya seronok apabila dapat mengekspresikan kreativiti diri, selain belajar bekerjasama.
“Sebagai contoh, daripada aktiviti ini, kami belajar bagaimana untuk mencampurkan krim bagi mendapatkan warna yang diinginkan serta cara ‘piping’ krim di atas permukaan kek,” katanya.
Ujar anak kelahiran Selangor itu, biarpun nampak mudah dan hasil dekorasi tidak secantik yang diharapkan, peluang menghabiskan masa bersama-sama dan hasilkan sesuatu dengan kreativiti sendiri adalah apa yang menjadikan aktiviti sebegitu lebih bermakna.
“Bila tengok hasil kek, kami berdua tertawa kerana baru kami tahu bahawa kami ini tidaklah kreatif mana.
“Namun, aktiviti ini lebih kepada cara menghargai usaha satu sama lain dan mencipta memori bersama,” kata Nur Nasrin.
Bagi Azami pula, dia melihat aktiviti itu sebagai hadiah berharga buat orang tersayang.
“Apabila bercakap tentang hadiah material, bagi saya ia lebih kepada, What I give and buy, you’ll accept dan konsep itu cukup berbeza dengan hadiah yang dibuat sendiri.
“Jika mahu hadiah yang diberikan sendiri itu cantik, maka kita perlu meletakkan effort 100 peratus supaya kita sendiri rasa puas apabila penerima itu menerima hadiah daripada kita,” katanya.

Nur Nasrin juga melihat hadiah sebegitu bersifat peribadi dan lebih bermakna, lebih-lebih lagi apabila boleh dibuat mengikut cita rasa sendiri.
Selain The Weekend Workshop, terdapat beberapa buah kafe dan studio lain yang turut menawarkan bengkel menghias kek sebagai ‘date idea’ bersama pasangan atau pun sekadar menghabiskan masa dengan diri sendiri seperti Llebeurre di Shah Alam dan bydolce’s di Kuala Lumpur.
Pengasas Llebeurre, Rachael Chua, 23, berkata, minat membuat kek mendorongnya untuk mengasaskan Llebeurre pada 2020.
“Apa yang pada mulanya hanyalah satu hobi, akhirnya menjadi perniagaan dari rumah.
“Lama-kelamaan saya terfikir untuk mewujudkan satu ruang di mana orang ramai berpeluang menyerlahkan kreativiti mereka dengan belajar cara menghias atau dekorasi kek,” katanya.
Tambah Rachael, dia seronok melihat ramai orang mendapat keyakinan untuk mencuba skil baharu dan menyerlah kreativiti mereka, lebih-lebih lagi buat mereka yang datang bersama pasangan.
Pengkhususan Llebeurre adalah dalam bengkel dan kelas kek gaya vintaj.
“Dalam setiap sesi, saya membimbing para peserta dari awal hingga akhir, mengajar teknik buttercream dan komposisi reka bentuk. Setiap sesi merupakan gabungan kreativiti dan pengetahuan praktikal,” katanya.
Mengulas tentang trend dekorasi kek, Rachael berkata dia melihat dekorasi kek vintaj kini membuat kemunculan semula.
“Kek vintaj adalah kek dengan kemasan krim menyerupai renda.
“Ramai yang tertarik dengan kek ini kerana ia mengimbau nostalgia,” katanya.
Rachael juga berkata populariti bengkel dekorasi kek didorong oleh media sosial yang mana orang ramai membuat perkongsian tentang aktiviti itu yang memberikan mereka kek yang menyerlah personaliti diri.
Tidak hairanlah, ia menjadi aktiviti popular hujung minggu sebagai cara pasangan untuk menghabiskan masa antara satu sama lain.
Bengkel dekorasi kek anjuran Llebeurre sempena sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day pada Februari lalu misalnya habis terjual dalam masa singkat.
Sambutan hangat itu membuktikan minat orang ramai terhadap dekorasi kek berstail vintaj yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta seni bakeri.
“Buat yang mahu mencuba aktiviti ini, nasihat saya adalah jangan takut untuk gagal.
“Yakinlah dengan karya anda,” katanya.














