RIO DE JANEIRO – Pemain sensasi Brazil, Neymar diberi masa selama enam bulan untuk membuktikan keupayaan kepada ketua jurulatih, Carlo Ancelotti jika berhasrat untuk berada dalam senarai pemain ke saingan Piala Dunia 2026.
Sebagai rekod, Ancelotti kekal dengan pendirian untuk tidak memanggil pemain berusia 33 tahun buat kali keempat berturut-turut sejak membimbing pasukan Selecao secara rasmi pada Jun lepas.
Menurut Ancelotti, penyerang Santos FC itu perlu membuktikan prestasi konsisten di peringkat kelab terlebih dahulu sebelum berhasrat untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
“Pada awalnya saya ingat Neymar ini hanyalah isu di Brazil, tetapi tidak tahu ia turut dikatakan di peringkat global.
“Saya difahamkan, dia sudah pulih daripada kecederaan dan sekarang saya bagi masa selama enam bulan untuk buktikan keupayaan. Dia sentiasa berada dalam senarai kami tetapi sama ada dia dapat masuk dalam senarai akhir, saya belum pasti,” katanya.
Sementara itu, Ancelotti turut percaya Brazil kini berada dalam landasan terbaik untuk beraksi cemerlang dalam kempen Piala Dunia yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico nanti.
“Kita sekarang sudah ada pasukan yang lengkap walaupun beberapa tonggak utama masih lagi cedera. Dalam tempoh enam bulan ini apa sahaja boleh berlaku dengan dua lagi aksi persahabatan yang bakal kita harungi pada Mac depan,” katanya. – AGENSI















