SEREMBAN – Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan mengambil tindakan segera susulan satu video tular di media sosial yang memaparkan keadaan tidak selamat di laluan pejalan kaki di Jalan Lukut-Seremban berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Mambau dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau.
Video yang dimuat naik sekitar tengah hari tadi yang berdurasi 48 saat menunjukkan beberapa penutup longkang di laluan pejalan kaki hilang dan rosak, sekali gus menimbulkan risiko kepada pengguna, terutamanya pelajar sekolah di kawasan berkenaan yang melalui laluan tersebut.
Pengarahnya, Datuk Wan Hasnan Wan Musa, berkata Pejabat Kawasan SELIA telah melakukan pemeriksaan awal dan mengesahkan lokasi tersebut berada dalam jajaran penyelenggaraan mereka.
“Hasil pemeriksaan mendapati kerosakan berlaku pada beberapa penutup longkang yang perlu diganti segera.
” Bagi tindakan, permohonan peruntukan untuk kerja penggantian penutup longkang sedang dikemukakan berdasarkan keadaan sebenar di tapak.
“Bagaimanapun, demi memastikan keselamatan sementara menunggu kelulusan peruntukan, pasukan penyelenggaraan telah diarahkan memasang pelan pengurusan trafik (TMP) di lokasi.- KOSMO! ONLINE















