fbpx
Nur Syahirah memilih mencari rezeki dengan mengendalikan jentera berat termasuk traktor selepas tamat SPM dua tahun lalu.

Gadis 20 tahun seronok bawa traktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Ketika kebanyakan rakan sebaya memilih bekerja di pejabat, seorang gadis di daerah ini membawa haluan berbeza dengan mengendalikan jentera traktor dan jentolak.

Walaupun baru berusia 20 tahun, Nur Syahirah Muhd. Din dari Kampung Kua Beoh di sini, mahir mengendalikan jentera berat yang digunakan untuk membersihkan kawasan hutan, kebun sawit dan tapak pembinaan.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu mempelajari selok-belok mengendalikan traktor dan jentolak sejak di bangku sekolah sebelum bekerja sepenuh masa selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.

“Saya mewarisi pekerjaan berat dan sukar ini daripada ayah (Muhd. Din Saat) yang lebih 20 tahun mengendalikan jentera ­berat.

“Saya mengikut ayah ke tapak projek ketika masih bersekolah. Saya suka melihat ayah mengendalikan jentera berat meskipun menuntut lebih banyak kudrat,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.

Nur Syahirah tidak berputus asa mengendalikan jentera berat walaupun berdepan cabaran termasuk disengat tebuan. – TOREK SULONG

Nur Syahirah mengakui pekerjaan sebagai ‘gadis traktor’ bukan mudah kerana memerlukan ta­ngan dan tenaga yang kuat untuk mengawal stereng dan gear yang berat.

“Kali pertama saya mengendalikan traktor dan jentolak, walaupun sakit urat (sakit badan), saya tetap menggagahkan diri. Kerja ini memang lasak, tetapi seronok. Upah membawa jentera berat juga lumayan.

“(Upah) Paling tinggi saya peroleh setakat ini sebanyak RM500 sehari untuk membersihkan kawasan hutan. Paling rendah pula RM100 bagi kerja-kerja merata dan membina jalan,” ujarnya.

Katanya, dia berdepan cabaran besar ketika bekerja antaranya ancaman sarang tebuan. Gadis itu pernah dise­ngat serangga tersebut hingga terpaksa melarikan diri.

Selain pembinaan jalan, meratakan tanah dan batu serta me­nurap tar, jentera berat itu turut diperlukan bagi kerja-kerja membersihkan semak di kebun sawit dan padang bola serta kawasan berisiko bervoltan tinggi.

“Bermula dengan sebuah traktor, keluarga saya kini memiliki lapan buah jentera yang bero­perasi di seluruh Kelantan dan Besut, Terengganu.

“Harga traktor bukannya murah kerana mencecah RM100,000 hingga RM120,000 sebuah. Harga ini adalah simbol perjuangan keluarga saya. Insya-Allah, saya akan terus bekerja dalam bidang ini sampai bila-bila.

“Saya mahu meneruskan wa­risan keluarga dan mahu menjadi seperti pemandu traktor dan jentolak seperti ayah yang kini berusia 60 tahun,” katanya.

Selain mengendalikan jentera berat, Nur Syahirah aktif menyertai program kampung termasuk sukan baruh pada 8 November lalu dan pelbagai acara komuniti seperti perarakan kemerdekaan, konvoi guru pencen dan perarakan pengantin menggunakan jentera berat tersebut.

Kosmo! semalam melaporkan golongan wanita masa kini berjaya membuktikan jantina bukan penghalang apabila melakukan kerja-kerja berat dan sukar antaranya pemandu treler, mekanik dan juruteknik pendingin hawa yang sebelum ini didominasi oleh kaum lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN