PETALING JAYA – Eksport Malaysia meningkat sebanyak 15.7 peratus tahun ke tahun kepada RM148.32 bilion pada Oktober lalu, sekali gus mencatat rekod tertinggi setakat ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah perdagangan pula melonjak 13.6 peratus kepada RM277.65 bilion.
Beliau berkata, sektor perkilangan menjadi pendorong utama bagi kejayaan tersebut.
“Permintaan kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik serta barangan optik dan saintifik, yang mana kedua-duanya mencatat nilai eksport tertinggi adalah pendorong utama.
“Ini adalah petanda jelas ketahanan ekonomi Malaysia di tengah ketidaktentuan global,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Tambah beliau, negara juga berjaya mengekalkan lebihan dagangan untuk 66 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia kekal komited membantu syarikat Malaysia memanfaatkan 18 Perjanjian Perdagangan Bebas kita.
“Ia termasuk CEPA Malaysia-UAE yang baru berkuat kuasa 1 Oktober lalu, untuk terus berkembang di arena antarabangsa! Teruskan momentum ini, Malaysia!” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















