PETALING JAYA – Tindakan tiga ‘katak’ berwarna kuning, merah dan hijau merayau meminta sumbangan di tengah jalan lampu isyarat Semabok-Bukit Senjuang, Melaka mengundang padah apabila dua daripada mereka dikenakan tindakan sitaan semalam.
Sitaan pakaian maskot ‘katak’ kuning dan merah itu dibuat anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Taman Semabok Melaka, manakala ‘katak’ hijau pula kini dalam buruan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, siasatan mendapati kegiatan merayau bagi meminta sumbangan dengan mengenakan maskot katak tersebut dilakukan oleh warga tempatan dan asing.
“Ada bukan warganegara, ada warganegara dewasa, ada warganegara bawah umur 16 tahun. Pergilah cari rezeki tempat yang tidak membahayakan orang lain. Mohon permit dan cari lokasi selamat, selesai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, tidak diketahui sama ada aktiviti tiga ‘katak’ tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket atau sebaliknya.
“Tak tahu. Rasanya ada lah tokey. Sebab takkan datang dari negeri utara ke sini buat kerja macam ini (rujukan pada kad pengenalan). Yang menjaja dan pengemis lain tak tangkap? Menjaja urusan pihak berkuasa tempatan. Lokasi bahaya tindakan serta-merta.
“Isu paling utama adalah keselamatan. Berapa banyak kemalangan dan nyaris kemalangan berlaku kerana perbuatan mereka. Semoga kita semua terselamat daripada bahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE















