JAKARTA – Seorang penunggang motosikal di Maros, wilayah Sulawesi Selatan mengundang perhatian ramai apabila cuba menyerang anggota polis trafik hanya kerana ditegur tidak memakai topi keledar, lapor portal berita INews Sulsel.
Kejadian berlaku di Jalan Sam Ratulangi kelmarin.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @rakyatsulsel menunjukkan lelaki terbabit mengamuk dan cuba memukul anggota terbabit sambil dihalang isterinya.
Ketua Unit Trafik Polis Maros, AKP Muhammad Arafah memberitahu bahawa penunggang motosikal itu pada awalnya ditegur kerana tidak memakai topi keledar.
“Lelaki itu kemudian diarah untuk mengelak daripada memasuki kawasan kawalan trafik tetapi arahan tersebut diabaikan, menyebabkan dia ditahan dan diminta untuk menunjukkan dokumen kenderaan.
“Dia bagaimanapun menunjukkan sikap agresif dan cuba menyerang salah seorang anggota kami,” kata Muhammad.
Anggota berkenaan diarah untuk membuat laporan agar siasatan dapat dijalankan. – AGENSI















