SAYA jarang memancing di Melaka, selalunya hanya turun ke Port Dickson (PD), Negeri Sembilan. Peluang untuk mencuba perairan ini pasti tidak akan saya lepaskan kerana ingin mengetahui potensinya.
Kami turun di jeti yang terletak berhampiran dengan Jambatan Tanjung Agas di Sungai Linggi.
Di jeti, terdapat kawasan parkir yang luas, warung makan, surau dan tandas, sememangnya sangat memudahkan pemancing yang berkunjung.
Kami menggunakan bot yang sebenarnya hanya digunakan untuk operasi bubu kerana tekong Raimie sudah ‘pencen’ daripada memancing.
Bot ini luas di bahagian hadapannya kerana di situ tempat diletakkan bubu.
Tekong membawa rakan-rakan yang rapat sahaja memancing dan pilihan hari bukannya air mati.
Hal ini kerana pada hari yang arusnya perlahan, dia akan melakukan kerja-kerja melabuh dan mengangkat bubu.
Lokasi sempadan
Kami bertolak sekitar pukul 8 pagi dan keluar melalui kuala Sungai Linggi.
Tekong menyatakan bahawa lokasi-lokasi pancingan pilihannya lebih arah ke Melaka dari ke Negeri Sembilan.
Air laut masih bertolak pasang dan tekong terus menuju ke kawasan karang yang terdekat dengan darat.
Sasaran utama trip ini ialah jigging mencari ikan dasar gred baik seperti jenahak dan kerapu.
Pada masa sama, ikan-ikan pemangsa seperti talang dan alu-alu juga tidak dilupakan, cuma ikan tenggiri sahaja jarang ada di perairan ini.
Rata-rata kedalaman dasar di perairan Melaka ini lebih kurang antara 20 hingga 40 meter (m).
Saiz jig yang disyorkan di sini adalah antara 80 hingga 150 gram (g) dan dimainkan secara ‘ketuk dasar’ atau slow jigging. Jig yang lebih ringan daripada itu hanya diturunkan jika keadaan arus menjadi perlahan, terutama ketika pertukaran arus berlaku.
Stail jigging
Persembahan jig di sini adalah dengan menggunakan empat mata kail assist iaitu dua di atas dan dua lagi di bawah jig.
Jika di kawasan karang padat, assist hook ditukar satu di atas dan satu di bawah jig.
Sebab utama penggunaan mata kail assist di atas dan bawah jig kerana ingin meningkatkan peratusan hook-up apabila ikan menghentam jig.
Bukannya senang hendak menggoda ikan yang tinggal di habitat yang tinggi dengan tekanan memancing. Jadi, setiap peluang jig digetu ikan, pasti tidak akan disia-siakan begitu sahaja.
Saya amat jarang melakukan aktiviti slow jigging menggunakan jig lebar dan berat hingga terasa amat kekok.
Lokasi jigging saya selama ini sebenarnya lebih ke arah perairan di Pantai Timur Semenanjung yang kebiasaannya teknik light jigging dengan jig antara 40g hingga 60g mendominasi.
Jig mula kena
Sesi slow jigging diteruskan dan apabila singgah ke lokasi ketiga barulah kami mula kena spesies ikan karang seperti ikan tanda jalur dan pelbagai jenis kerapu.
Semakin air menuju surut, semakin kerap jig dibedal ikan dan saiznya juga semakin besar, termasuklah beberapa ekor jenahak serta kerapu.
Kami juga kerap bertukar-tukar lubuk, sekejap ke kawasan berkarang dan sekejap kawasan lubang-lubang dalam. Ada lokasi yang menghasilkan tangkapan dan ada kosong sahaja.
Saya berkesempatan mencuba sebatang joran Expert Graphite Independence Long Fall PE3 Max. Jig 180g, panjang 7.5 kaki.
Joran diregukan dengan kekili Shimano Calcutta Conquest MD 401 XG. Joran ini sudah bertahun saya simpan tanpa berkesempatan mencubanya.
Mengikut kefahaman saya, joran jigging long fall ini perlu panjang supaya dapat menjana aksi jig yang cantik setiap kali dimainkan.
Ini kerana, apabila joran diangkat tinggi, secara automatik akan membuatkan jig naik dengan ‘gemalai’. Ketika turun atau jatuh (fall), ia akan membuat gelekan yang dapat membiaskan lebih banyak cahaya.
Cara ini dapat ‘memanggil’ ikan-ikan besar yang berada di perimeter berhampiran untuk mendekati jig, sekali gus menerkamnya.
Saya menggunakan jig Abu Garcia Salty Stage 120g warna perak, dan dalam beberapa kali percubaan, sesuatu yang kasar menyergap jig itu.
Malangnya, perlawanan hanya sebentar kerana ikan terlucut di pertengahan air.
Ini merupakan kesilapan saya kerana hanya menggunakan dua mata kail di bahagian atas jig dan
saiz assist hook juga kecil.
Di sini, mereka menggunakan mata kail assist lebih besar hingga saiz 5, 6 atau 7 untuk jig 80-150g.
Saya bertukar persembahan jig seperti apa yang disyorkan. Namun, sunyi tidak ada lagi sergapan daripada ikan terhadap jig yang saya mainkan.
Haruan tasik kasar
Ketika kami sibuk makan tengah hari, jig tekong dirembat ikan yang besar di pertengahan air.
Ikan terus membesit laju naik ke permukaan, awalnya disangkakan ikan talang tetapi kelihatan lain macam padu renangannya.
Benar seperti diduga, ia sememangnya seekor ikan haruan tasik yang amat kasar.
Tekong langsung tidak memberi peluang kepada ikan, joran dipamnya bertalu-talu dengan sistem tegangan drag kekili diset tinggi.
Apabila ikan tersebut menghampiri bot, tekong sendiri tanpa berlengah mengancunya dan dengan sekali lambung, ikan berjaya dinaikkan ke bot. Saiz ikan juga sudah hampir sama tinggi dengannya.
Huru-hara akibat ikan saiz yang kasar itu, bot kemudian singgah ke Karang Jerung.
Ia merupakan satu kawasan berkarang cetek dan sasaran di sini adalah ikan sagai, cermin, selar papan, jemuduk dan talang menggunakan jig saiz kecil atau apollo.
Memandangkan arus surut laju petang itu, masing-masing menurunkan apollo sahaja. Banyak juga ikan cermin kecil atau pemancing di Melaka ini panggil ikan caping dinaikkan.
Sesi apollo ditamatkan apabila arus semakin laju, kami beransur-ansur berpindah ke beberapa lubuk yang menuju ke darat dan akhirnya terus pulang ke jeti.















