PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa keretanya mati di tengah jalan selepas dipercayai mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Nilai.
Menurut hantaran pengguna Threads @Puutery, individu itu mendakwa pada awalnya, kenderaannya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang perjalanan dari KLIA (Lapangan Terbang Kuala Lumpur) ke Nilai.
“Isi minyak penuh tiba-tiba kereta mati tengah jalan. Hantar bengkel, mekanik kata tangki minyak penuh dengan air. Mana datang air ini?,” ujarnya.
Dalam hantaran lain, pengguna Threads @Nurul.ain21, dimaklumkan oleh mekanik bahawa petrol yang diisi bercampur air, menyebabkan enjin gagal menerima pembakaran yang sepatutnya.
“Pagi ini hidupkan kereta dia mula tersengguk-sengguk (jerking) dan segala amaran naik. Mekanik periksa cakap petrol bercampur dengan air,” ujarnya.
Tinjauan Kosmo! mendapati hampir 10 pemilik kereta telah membuat laporan serta tuntutan pampasan kepada syarikat minyak.
Difahamkan, stesen minyak tersebut sudah ditutup dan sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.
Kejadian tersebut menimbulkan kebimbangan rata-rata pengguna media sosial, terutama dengan risiko kerosakan enjin yang memerlukan kos pembaikan tinggi.
“Boleh minta pampasan daripada stesen minyak. Tunjukkan resit sebagai bukti dan gunakan hak anda sebagai pelanggan,” komen @Im_tristupe
“Saya pun kena juga dengan motorsikal saya. Ingatkan ada masalah lain rupanya ada air dalam tangki minyak. Sampai sekarang motorsikal tak rasa lancar,” komen @Zuerashi
“Nak baik pulih kerosakan enjin akibat dimasuki air ini memerlukan kos yang tinggi. Mohon minta ganti rugi dengan stesen minyak,” komen @User.iman –KOSMO! ONLINE















