KEMAMAN – Pusaran angin dan ribut yang melanda Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kampung Pasir Gajah, di sini, semalam menjejaskan lebih 10 rumah penduduk dan kesemuanya mengalami kerosakan bumbung yang diterbangkan sekitar pukul 3.30 petang.
Salah seorang penduduk terjejas, Azlan Arif, 48, terkejut melihat pusaran angin berwarna hitam tiba-tiba menuju ke taman perumahan mereka.
“Waktu itu masih tidak hujan. Pusaran angin tersebut amat laju, dalam tempoh kurang seminit habis bumbung rumah saya dan jiran-jiran diterbangkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di PAKR Kampung Pasir Gajah, di sini, hari ini.
Azlan berkata, begitupun tidak lama selepas itu, hujan lebat turun bersama angin kencang sehingga menyebabkan banyak perabot dan peralatan elektrik rumahnya rosak.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Bencana Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, buat masa ini, kesemua mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran. – KOSMO! ONLINE














