JOHOR BAHRU – Seorang graduan melakar detik manis apabila berkongsi pentas bersama ibunya pada Majlis Konvokesyen ke-19, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika menerima skrol di Dewan Sultan Iskandar, Skudai di sini semalam.
Afif Izhar Abdullah Haris, 23, berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, manakala ibunya, Dr. Azura Ahmad menerima Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan.
Afis Izhar berkata, kejayaan itu bukan sekadar meraih ijazah, tetapi simbol pengorbanan seorang wanita bergelar ibu yang menjadi idola hidupnya.
“Ibu saya belajar hingga lewat malam, menguruskan kerja dan keluarga, tapi tetap memberi sokongan tak berbelah bagi.
“Dia adalah sumber kekuatan dan inspirasi terbesar saya. Kalau ibu boleh bertahan dan berjaya, saya juga mesti kuat. Setiap kali rasa lemah, saya teringat pengorbanannya,” katanya.
Sementara itu, Dr. Azura mengakui pengalaman itu melengkapkan perjalanan akademiknya yang penuh liku.
Katanya, kejayaan anaknya bukti didikan, teladan dan sokongan tidak pernah sia-sia.
“Saya mahu Afif tahu, tiada halangan terlalu besar jika ada tekad dan doa. Melihatnya berdiri dengan saya, itu pengajaran hidup tidak ternilai,” katanya.















