SAAT nama pasukan mereka diumumkan sebagai pemenang pingat emas Anugerah Kluster Terbaik, Kluster Sains pada Karnival Sains, Teknologi, Kejuteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan, Muhammad Ameer Jamaludin rasakan alam bagai terhenti.
Rasa gembira, lega dan bangga bercampur baur dalam satu detik yang tak mungkin dilupakan, diiringi tepukan gemuruh penonton.
Di belakangnya, rakan sepasukannya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher, Kota Bharu, Kelantan, Muhammad Aiman Hakim Najeli dan Syed Adheem Syed Khairudin tersenyum lebar. Mata mereka bersinar tanda kemenangan itu kini menjadi kenyataan.
Suasana itu bukan sahaja menggetarkan mereka, malah memberi inspirasi kepada pelajar lain yang turut hadir pada hari itu.
Bagi Ameer, detik itu membuktikan bahawa larutan kubis ungu ciptaan mereka yang dinamakan Colourguard kini mampu membuka mata masyarakat terhadap bahaya penggunaan pewarna-pewarna tiruan dalam makanan dan minuman.
“Ini kali pertama kami bekerjasama dalam projek sains pada peringkat ini, jadi kami benar-benar terkejut apabila berjaya meraih pingat emas pada kolaborasi pertama kami.
“Semua kerja keras, percubaan, dan masa singkat yang kami ada terasa berbaloi sekelip mata. Colourguard kami ternyata memiliki fungsi yang bermanfaat,” katanya kepada K-Remaja.
Untuk pengetahuan, tiga pelajar SMK Dato’ Ahmad Maher itu telah mencipta inovasi saintifik dinamakan Colourguard berasaskan kubis ungu yang mampu mengesan kewujudan pewarna-pewarna tiruan dalam suatu makanan dan minuman.
Idea tersebut tercetus selepas mereka menyedari kesan negatif pewarna tiruan yang dikaitkan dengan penyakit buah pinggang dan masalah hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak.
Kesedaran ini mendorong mereka mencari penyelesaian yang mudah, murah, dan berkesan bagi digunakan di rumah atau di sekolah.
Produk inovatif Colourguard berjaya merangkul pingat emas Anugerah Kluster Terbaik bagi Kluster Sains (kategori sekolah menengah) pada Karnival STEM Kebangsaan diadakan di kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baru-baru ini.
Karnival ini menarik penyertaan pelajar dari seluruh negara dan menjadi medan bagi mereka menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing.
Ketiga-tiga pelajar berusia 15 tahun itu menerima anugerah tersebut daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang disampaikan menerusi wakilnya.
Matlamat karnival tersebut adalah untuk memupuk minat pelajar sekolah rendah dan menengah dalam bidang STEM serta memberikan platform kepada mereka untuk menunjukkan kreativiti, inovasi dan bakat saintifik.
Selain itu, karnival tersebut turut menyumbang kepada kesedaran tentang kepentingan STEM dalam pembangunan negara dan membina rangkaian antara pelajar, penyelidik dan industri bagi memperkukuh ekosistem inovasi.
Bukan itu sahaja, difahamkan projek tersebut turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi Kuantan International Invention & Innovation Challenge 2025 (K3IC25) yang dikemukakan secara dalam talian.
Mengulas mengenai rahsia kejayaan, Muhammad Ameer yang bertindak sebagai ketua kumpulan berkata, kerjasama di antara rakan-rakannya serta bimbingan guru menjadi kunci di sebalik kejayaan mereka.
“Semasa saya dapat idea ini, saya dah jangka idea saya ini boleh pergi jauh. Saya segera pilih rakan-rakan yang dah pernah terlibat dalam projek inovasi untuk sertai saya.
“Mereka memiliki kelebihan yang membuatkan kami saling melengkapi antara satu sama lain. Sokongan sekolah dan sokongan ibu bapa memudahkan lagi idea ini untuk direalisasikan,” katanya.
Lebih menarik, Colourguard dibangunkan melalui eksperimen dan percubaan selama dua minggu, namun prototaip yang memuaskan hanya siap sekitar tiga hari sebelum tarikh pembentangan.
Masa itu digunakan untuk memastikan setiap sampel larutan menghasilkan perubahan warna yang jelas bagi menonjolkan keberkesanan produk mereka.
Terdapat beberapa percubaan awal yang gagal kerana warna larutan kurang terang, namun mereka berjaya mendapatkan hasil yang memuaskan selepas tiga kali percubaan.

Rujukan dibuat daripada internet untuk mengetahui kaedah penyediaan ekstrak kubis ungu yang melibatkan pemanasan kubis ungu selama 10 hingga 15 minit, menapis menggunakan penapis kopi dan menyimpannya dalam botol dropper.
Larutan Colourguard kemudian dititiskan pada sampel makanan yang telah dilapisi kapas atau kain putih untuk memerhatikan perubahan warna akibat tindak balas antara anthocyanin (antosianin) dalam kubis ungu dengan pewarna tiruan dalam makanan tersebut.
Proses tersebut juga membolehkan mereka mencatat secara sistematik setiap perubahan warna yang berlaku.
Jika tiada pewarna tiruan pada makanan itu, warna larutan tetap seperti semula jadi, iaitu ungu atau warna asal kubis, manakala sekiranya terdapat pewarna tiruan, larutan akan bertukar warna.
Perubahan warna tersebut menunjukkan kehadiran pewarna tiruan dalam sampel makanan atau minuman dan membolehkan pengguna mengenal pasti produk yang selamat dimakan.
Kongsi Syed Adheem pula, kubis ungu dipilih kerana lebih murah berbanding anggur, menghasilkan warna lebih terang daripada bunga telang dan mengandungi antosinin yang berfungsi sebagai penunjuk pH semula jadi.
“Kami membuat perbincangan untuk memilih sama ada anggur ataupun bunga telang ataupun kubis ungu.
“Akhirnya, kami bersepakat untuk menggunakan kubis ungu sebab kubis ungu ni dia lebih murah di pasaran berbanding anggur. Kalau dibandingkan dengan bunga telang pula, kubis ungu ini lebih terang daripada bunga telang.
“Kami uji pada air bergas dan gula-gula dan tunjukkan kepada juri,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan perancangan masa depan, trio tersebut menjelaskan bahawa masih terdapat penambahbaikan yang akan dilakukan sebelum mempertimbangkan proses paten bagi melindungi hak cipta.
Hal ini kerana larutan Colourguard hanya bertahan beberapa jam pada suhu bilik iaitu sekitar empat hingga lima jam dan memerlukan penyimpanan sejuk.
Pasukan itu merancang untuk menambah baik formulasi Colourguard, termasuk dengan menambah titisan lemon untuk meningkatkan kestabilannya.
Mereka juga bercadang melakukan ujian lanjutan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman bagi memastikan keberkesanan larutan ini dalam pelbagai situasi.
Ujar Muhammad Aiman, pengalaman menjalankan projek sedemikian membolehkan pelajar melihat secara nyata tindak balas saintifik, bukannya sekadar teori dalam buku.
Proses tersebut turut membina kemahiran mereka dalam mencatat keputusan, menganalisis data dan bekerja secara sistematik dalam kumpulan.
“Kami bertiga sememangnya bercita-cita hendak menjadi saintis pada satu hari nanti dan kejayaan ini sebenarnya melonjakkan lagi semangat kami.
“Cikgu juga telah merancang membantu kami pada projek sains dan inovasi akan datang seperti mencipta pengesan glukosa dalam makanan,” katanya.














