GOMBAK – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya dihempap runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Plaza Tol Gombak, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian itu melibatkan seorang wanita berusia 40-an berlaku kira-kira pukul 1.47 tengah hari.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi, runtuhan binaan ECRL didapati menghempap sebuah kereta jenis Suzuki Swift.
“Mangsa bagaimanapun telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama dua buah jentera terlibat dalam operasi tersebut. – KOSMO! ONLINE














