TAIPING – Seorang graduan undang-undang dan tiga rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM), Sabtu lalu.
Tertuduh, AY Shimah Narayan, 41, bersama B. Sujenthrran, 39, M. Indran, 38, dan M. Sujendran, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Mereka didakwa cuba mencuri kabel Telekom dengan membuka penutup lubang di tepi Jalan Kamunting-Batu Kurau berhampiran Kolej Vokasional Kamunting dalam daerah Larut Matang dan Selama pada pukul 1.50 pagi, 15 November lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun sama.
Terdahulu, Nazura mencadangkan jaminan RM8,000 ke atas setiap tertuduh, namun peguam VS Singaravadivel merayu jaminan minimum dengan alasan kesemua anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan.
Katanya, tiga daripada mereka bekerja sebagai penyelia syarikat kawalan keselamatan, juruelektrik dan drebar lori dengan gaji RM2,000 sebulan.
“Seorang lagi bekerja di syarikat minyak dan gas swasta. Tertuduh merupakan graduan ijazah sarjana muda undang-undang dan berhasrat untuk meneruskan pengajian di United Kingdom,” katanya.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Januari 2026 untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE














