SEBERANG PERAI – Seorang tukang masak wanita warga Myanmar maut ditikam pelanggannya dipercayai kerana masakan yang dihidangkan tidak menepati selera sehingga berlaku pertengkaran di sebuah restoran di Lorong Bukit Juru di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam di restoran makanan ala Thai itu, mangsa berusia dalam lingkungan 40-an maut di tempat kejadian, manakala suaminya cedera pada badan.
Kejadian berlaku apabila suspek warganegara sama datang ke premis itu bersama rakannya dalam keadaan mabuk. Difahamkan, insiden tercetus selepas suspek bersama rakannya bertengkar dengan pasangan suami isteri tersebut sebelum mereka dihalau keluar.
Suspek kemudian datang semula ke premis tersebut bersama abangnya lalu menikam mangsa dengan sebilah pisau.
Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan tiga suspek termasuk pasangan adik-beradik di lokasi berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kosmo! difahamkan, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam untuk mendapat perintah reman, pagi ini. – KOSMO! ONLINE














