KAJANG – Polis giat mengesan suspek yang terbabit dalam kes memecah masuk rumah seorang pempengaruh sebelum melarikan pelbagai barangan bernilai RM360,000 di Bandar Sungai Long, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.03 pagi.
“Pengadu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjawat awam memaklumkan rumahnya dipecah masuk. Ketika kejadian, mangsa dan isterinya yang juga peniag produk kecantikan tiada di rumah.
“Pemeriksaan mendapati beberapa barangan berharga milik isterinya telah lesap antaranya barang kemas, empat buah topi keledar jenama Shoei dan Arai,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Naazron berkata, suspek turut melarikan dua buah motosikal jenis Yamaha RXZ dan Yamah LC125 V8 yang disimpan di dalam stor di belakang rumah.
“Pasukan Forensik telah pergi ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-2530380.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pempengaruh dikenali sebagai Nanad Bebe, 30, meminta bantuan orang ramai sekiranya ternampak barangan miliknya yang dicuri dijual dalam mana-mana platform dalam talian supaya segera menghubungi dan suami. – KOSMO! ONLINE















