Saudara Pengarang,
Kurang 10 hari dari sekarang, debaran yang lama bersarang di dada para calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhirnya akan tiba ke kemuncaknya.
Ujian bertulis yang dimulai dengan subjek Bahasa Melayu akan menjadi detik pemula kepada cabaran sebenar untuk mencapai keputusan terbaik.
Saat ini, apa yang paling penting bukan lagi rasa takut, tetapi kesediaan untuk percaya bahawa diri sendiri sudah cukup kuat untuk melangkah.
Ramai antara calon mungkin sedang dihimpit resah, bimbang soalan susah, takut jawapan tersilap dan risau masa tidak mencukupi.
Pada hari-hari terakhir ini, jangan memaksa diri menghafal semuanya dalam satu malam. Fokus pada pengulangan ringkas, nota penting, formula asas dan teknik menjawab.
Tidur yang cukup jauh lebih berharga daripada menatap buku sehingga pagi. Otak yang segar akan lebih tajam berbanding minda yang letih.
Jaga makan, jaga rehat dan jaga emosi kerana kemuanya saling berkait dalam menentukan prestasi para pelajar di meja peperiksaan.
Semoga setiap calon memperoleh ketenangan, kekuatan, dan kejayaan yang selayaknya.
Mokhtar Mohamad
Kangar, Perlis














