LANGKAWI – Satu mayat migran lelaki ditemui terdampar di Pulau Singa Besar di sini dalam operasi mencari dan menyelamat (carilamat) mangsa bot membawa pendatang asing tanpa izin karam yang memasuki hari ketujuh, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi menerima aduan berhubung penemuan mayat itu daripada orang awam.
“Susulan laporan tersebut, bot Kevlar milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mayat berkenaan. “Mayat mangsa seterusnya dibawa ke jeti Maritim Malaysia (APMM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sehingga kini, sebanyak 43 migran ditemui hanyut di perairan ini dengan 29 daripadanya sudah meninggal dunia.
Menurut beliau, APMM bersama semua agensi penyelamat terus komited melaksanakan operasi sehingga keseluruhan kawasan pencarian diterokai sepenuhnya.
“Kami mengutamakan keselamatan anggota di lapangan dalam keadaan laut yang mencabar, namun usaha mencari dan mengesan mangsa akan tetap diteruskan tanpa kompromi,” ujarnya.
Katanya, operasi pencarian diteruskan seawal pukul 7.30 pagi tadi dengan penglibatan aset KM Tenggol, Bot Petir 81, KD Laksamana Mohammad Amin dan PSC 19 yang diatur gerak di sektor pencarian ditetapkan.
“Keadaan cuaca semasa operasi menunjukkan angin bertiup dari arah barat laut dengan kelajuan 30 hingga 40 kilometer sejam, manakala ketinggian ombak berada pada paras 1.5 hingga 2.5 meter,” katanya lagi.
Tambahnya, laporan kaji cuaca turut mencatatkan ribut petir di beberapa kawasan dan situasi itu memerlukan semua petugas memberi perhatian penuh terhadap aspek keselamatan sepanjang berada di laut. – KOSMO! ONLINE















