Dunia penipuan dalam talian kini semakin berani dan kejam apabila sindiket penipuan atau scammer mula menjadikan kanak-kanak sebagai ‘pintu masuk’ kepada jenayah siber.
Melalui tawaran permainan percuma, aplikasi palsu dan hadiah maya, mereka memperdaya minda anak kecil yang belum matang untuk mengaut keuntungan mudah.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai isu membimbangkan ini, wartawan Kosmo! Ahad, Nur Alwani Zafirah Khairul menemu bual Duta Anti Scam, Rahmat Fitri Abdullah di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor dalam berkongsi pendedahan eksklusif mengenai modus operandi terkini sindiket, situasi semasa serta langkah pencegahan yang wajar diambil oleh ibu bapa.
KOSMO! AHAD: Akhir-akhir ini kita sering mendengar kes scammer yang melibatkan kanak-kanak. Mengapa golongan muda ini kini menjadi sasaran sindiket?
RAHMAT FITRI: Ya, betul. Kanak-kanak kini dianggap sebagai sasaran paling mudah kerana mereka tidak ada pengetahuan asas tentang keselamatan siber.
Mereka mudah teruja dengan tawaran ‘skim permainan’, hadiah percuma, atau mesej media sosial yang kelihatan mesra.
Sindiket tahu, kalau mereka mendekati orang dewasa, risiko untuk dipertikai tinggi, tetapi kalau melalui kanak-kanak, jalan mereka untuk mendapatkan keuntungan mudah lebih senang.
Dalam banyak kes, kanak-kanak inilah yang menjadi ‘pintu masuk’ untuk mendapatkan maklumat peribadi keluarga, terutamanya nombor telefon, alamat e-mel, malah ada yang secara tidak sengaja memasukkan nombor akaun bank ibu bapa.
Dari situ, scammer boleh mengatur strategi bagi melakukan penipuan dalam skala lebih besar.
Bagaimana sistem sindiket ini berlaku?
Ia bermula dengan tabiat membeli dalam talian. Zaman sekarang, kanak-kanak sekolah rendah dah pandai menggunakan platform e-dagang sebab barang dijual jauh lebih murah dan mudah diperoleh.
Tetapi golongan scammer tidaklah fokus kes kecil seperti menipu pembelian jajan atau mainan sebab murah. Scammer ini nak cepat kaya, jadi mereka sasar kes besar seperti pembelian permainan dalam talian.
Kanak-kanak zaman sekarang mereka simpan duit belanja sekolah semata-mata untuk membeli permainan dalam talian secara senyap-senyap tanpa pengetahuan ibu bapa.
Selain itu, bagaimana scammer menipu kanak-kanak adalah melalui telefon. Anak-anak zaman sekarang ada kumpulan WhatsApp keluarga. Scammer tahu mereka susah nak tembus telefon ibu bapa, jadi mereka sasar anak-anak dulu.
Bila dah berjaya godam, mereka boleh kaji trend perbualan keluarga dan dapat tahu nama penuh ibu bapa, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank dan sebagainya.
Ramai tak sedar sebenarnya banyak rahsia keluarga tersimpan dalam telefon anak-anak yang akhirnya membantu scammer mendapat keuntungan lebih besar.
Apakah taktik terkini scammer dalam memperdaya kanak-kanak?
Antara modus operandi yang kita kesan ialah ‘pop-up’ permainan video dengan tawaran kredit atau item percuma. Selain itu, aplikasi belajar palsu. Kononnya aplikasi matematik atau bahasa Inggeris, tetapi sebenarnya ‘malware’.
Ketiga, melibatkan mesej melalui media sosial dengan menyamar sebagai rakan sebaya dan meminta nombor telefon atau gambar daripada kanak-kanak terbabit.
Ada juga memperdaya golongan muda ini dengan cabutan bertuah maya apabila kanak-kanak disuruh isi borang termasuk nombor akaun ibu bapa.
Mereka tahu budak tidak akan syak apa-apa. Scammer guna bahasa ringkas dan mesra seolah-olah ia benar-benar untuk hiburan atau pelajaran.

keuntungan lebih besar dengan menjerat ibu bapa ke dalam perangkap mereka.
Apa kesan lain selain kerugian wang?
Selain kewangan, ia boleh memberi kesan psikologi serius. Kanak-kanak boleh rasa bersalah, trauma dan hilang keyakinan diri.
Ada kes, budak takut mengaku kerana bimbang dimarahi ibu bapa dan akhirnya mereka pendam dan berisiko untuk menjadi sasaran scammer berulang kali.
Apakah langkah pencegahan yang boleh diambil oleh ibu bapa?
Pertama, pantau penggunaan gajet anak, jangan biarkan mereka memuat turun sebarang aplikasi tanpa kebenaran.
Kedua, jangan simpan maklumat bank dalam telefon yang mudah diakses anak. Ramai ibu bapa letak aplikasi bank di telefon yang selalu dipinjam anak untuk bermain dan situasi tersebut sangat berbahaya.
Ketiga, gunakan aplikasi kawalan ibu bapa (parental control) untuk menapis kandungan dan pautan meragukan.
Paling penting, ajar anak tentang bahaya scam dengan cara mudah dan bukan hanya marah atau larang, tapi terangkan dengan contoh kepada mereka.
Nasihat akhir tuan untuk ibu bapa?
Saya ingin ingatkan ibu bapa, jangan pandang remeh. Scammer hari ini lebih licik dan berteknologi tinggi, kalau dulu mereka hanya menipu orang dewasa, sekarang kanak-kanak pula jadi mangsa.
Didiklah anak untuk berhati-hati dalam dunia digital dan anggaplah keselamatan siber sama penting dengan keselamatan di jalan raya. Kalau kita boleh ajar anak lintas jalan dengan betul, kita juga perlu ajar mereka bagaimana menggunakan internet dengan selamat.
Cadangan dalam mengatasi isu tersebut?
Menyentuh mengenai langkah pencegahan, perlu satu silibus pendidikan keselamatan digital diperkenalkan di sekolah bagi membina kesedaran sejak usia muda.
Kita bercakap tentang digital, tetapi belum ada pendidikan formal tentang keselamatan siber. Sudah sampai masanya Kementerian Pendidikan wujudkan silibus khas yang mengajar murid tentang scammer, privasi dan etika penggunaan telefon.
Walaupun ada ibu bapa mengehadkan penggunaan telefon hanya pada hujung minggu, namun waktu singkat itu digunakan sepenuhnya oleh anak-abak untuk meneroka dunia maya tanpa kawalan.














