KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun tidak kesampaian selepas tewas di separuh akhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto sebentar tadi, gandingan No.4 dunia itu terpaksa akur tewas 12-21, 17-21 kepada beregu tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan yang diberi julukan DinFei itu bagaimanapun berdepan aksi sukar apabila diberi tekanan cukup tinggi oleh Midorikawa-Yamashita sepanjang perlawanan.
Selepas tewas di set pertama, bekas pasangan No.1 dunia itu cuba melakukan kebangkitan di set kedua, namun pemain lawan yang menerima sokongan padu penyokong sendiri langsung tidak memberikan ruang buat DinFei.
Walaupun pada awalnya mendahului set kedua 11-8, namun Sze Fei-Izzuddin tidak dapat menghalang kebangkitan beregu lawan sebelum akur dengan kekalahan straight set dalam tempoh 38 minit.
Menerusi kekalahan itu, peluang mereka untuk melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China bulan depan boleh dianggap hampir tertutup. – KOSMO! ONLINE














