fbpx
Tangkap layar hantaran memaparkan tindakan kejam seorang lelaki mendera seekor beruk dewasa dipercayai haiwan peliharaannya.

Cekik dan hempas ke tanah, SAFM gesa tahan pendera beruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Heret seekor beruk kemudian hempas ke tanah dan tampar muka berkali-kali. Itu tindakan ganas seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang didapati mendera beruk peliharaannya sehingga tercungap-cungap akibat leher yang dijerat rantai.

Tindakan lelaki berkenaan yang tanpa rasa bersalah mencekik leher haiwan tersebut sebelum menampar muka dan kepala beruk berkenaan berkali-kali turut mencetus kemarahan orang ramai.

Difahamkan, lelaki berkenaan turut mengheret haiwan itu sebelum mengangkat dan menghempasnya ke tanah, manakala rakan-rakannya pula ketawa tanpa sedikit pun berusaha menghentikan tindakan ganas tersebut.
Sehubungan itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa tindakan segera diambil terhadap seorang lelaki tidak berperikemanusiaan membelasah seekor beruk peliharaan.

Katanya, pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai kejadian dipercayai berlaku di Kelantan dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk penganiayaan serius terhadap hidupan liar.

“Dalam video itu, beruk berkenaan diikat menggunakan rantai, ditampar dan dihentak sehingga jelas menimbulkan kesakitan.

“Kami mendesak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara mengambil tindakan segera,” ujarnya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan, sekali gus mengingatkan bahawa perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Di bawah Seksyen 86 akta berkenaan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Safm menegaskan, akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan berharap tindakan tegas dapat diambil segera bagi memastikan keadilan terhadap haiwan teraniaya itu.

Tinjauan Kosmo! mendapati ramai yang mengecam tindakan kejam lelaki tersebut sekali gus memohon tindakan segera oleh pihak berkuasa.

“Tak sanggup nak tengok sampai habis. Mana ihsan terhadap haiwan?,” kata Shaliya Ahmad.

“Kalau tak boleh pelihara dengan baik, lepaskan beruk itu kepada habitat asalnya. Bukannya mendera,” komen @Zullblack45

“Ya Allah, tercungap-cungap beruk itu dengan leher kena jerat sekali. Semoga Allah beri balasan setimpal. Jangan sesekali aniaya haiwan!,” komen @St999rsya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI