PETALING JAYA – Seorang wanita kesal apabila ditipu keluarga supaya membuat pinjaman peribadi kononnya bagi menyelesaikan hutang, tetapi sebaliknya untuk majlis kahwin adik lelakinya.
Menerusi hantaran di Threads, wanita itu berkata, pinjaman peribadi itu telah dilakukannya kerana simpati dengan keluarga.
“Kali ini, ayah minta aku buat pinjaman peribadi untuk melangsaikan hutang yang tidak wujud, tapi disebabkan ayah sendiri yang datang merayu untuk buat pinjaman peribadi, aku setuju.
“Ayah siap berpesan akan keluarkan duit simpanan sendiri dan membayar semula secara bulanan. Aku hanya berharap perjanjian kali ini tidak menipu. Rupa-rupanya, demi kesenangan adik aku, mereka (keluarga) sanggup menipu sedangkan aku sendiri belum berkahwin,” ujarnya.
Katanya, dia tidak terfikir untuk membuat pinjaman peribadi walaupun untuk majlis perkahwinan yang hanya sehari itu.
Menjengah ke ruang komen, ramai mendapati tindakan ibu bapa itu tidak wajar.
“Dia yang nak kahwin, kau pula yang kena tanggung. Banyak lagi perlukan duit untuk kegunaan masa depan masing-masing,” komen @Nzzati.abdullah
“Boleh ambil gambar borang, tunjuk kepada keluarga tapi pesan pada bank untuk tidak luluskan pinjaman. Selepas seminggu, bank akan telefon pinjaman tak lepas,” komen @Puancikjaja83
“Tolong tegas dengan keluarga terutamanya berkaitan kewangan. Ramai yang muflis sebab buat pinjaman peribadi untuk majlis pernikahan,” komen @Sulas_k –KOSMO! ONLINE














