SELEPAS lebih sedekad menanti, akhirnya impian wanita berusia 28 tahun itu dan rakan seperjuangan dalam pasukan kebangsaan akhirnya terlaksana jua.
Ia selepas Nur Syafazliyana Mohd. Ali mendapat perkhabaran bahawa sukan wanita paling popular di Malaysia, bola jaring bakal mempunyai liga sendiri buat julung kalinya.
Ternyata berita tersebut mencetuskan rasa gembira buat pemain kelahiran ibu kota itu selepas 10 tahun berkecimpung dalam arena bola jaring di peringkat tertinggi.
Dengan adanya pertandingan yang dikenali sebagai Liga Super Bola Jaring (NSL) itu, para pemain mendapat peluang berlatih serta bermain dengan lebih kerap dalam perlawanan kompetitif.
Situasi ini secara tidak langsung dapat membantu mengekalkan prestasi pemain kebangsaan yang turut bermain dalam liga ini mewakili negeri masing-masing.
“Saya sangat gembira apabila mengetahui NSL akan dilaksanakan pada tahun ini. Ia bukan sahaja impian kami para pemain kebangsaan, malah bekas-bekas rakan sepasukan sebelum ini.
“Sebenarnya, bola jaring perlu ada liga sejak dahulu lagi seperti sukan bola sepak, hoki, bola keranjang atau sepak takraw,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Saingan NSL dianjurkan oleh Persatuan Bola Jaring Malaysia dengan kerjasama stesen televisyen berbayar, Astro dan Kosmo! sebagai akhbar rasmi.
Pertandingan berkenaan sepatutnya berlangsung pada 22 Februari lalu, namun terpaksa ditunda ke pertengahan bulan ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebanyak lapan pasukan bakal berentap merebut kejuaraan NSL 2021 iaitu KL Wildcats, Johor Jewels, Pahang Tulips, Perak Phoenix, Kedah Sunshine, Melaka Mystic, Selangor Angels dan Negeri Sembilan Venom.
Nur Syafazliyana yang juga kapten pasukan kebangsaan berkata, NSL bakal menjadi medan terbaik kepada para pemain bola jaring di negara ini untuk memperagakan aksi terbaik.
Katanya, format pertandingan yang berlangsung satu perlawanan setiap minggu dalam tempoh sebulan sangat baik dalam membantu pemain mengekalkan prestasi.
“Sebelum ini, kami hanya berlatih secara bersama sekiranya ada panggilan skuad negara bagi persiapan menyertai pertandingan atau kejohanan penting.
“Dengan adanya NSL, kami dapat berlatih dengan lebih kerap. Apabila dipanggil menyertai pasukan negara, ia lebih mudah untuk kami mengembalikan persefahaman dan prestasi.
“Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi skuad negara ke tahap lebih tinggi. Ketika ini skuad negara berada di ranking ke-25 dunia dan ia masih boleh diperbaiki,” ujarnya yang akan mewakili KL Wildcats.
Idea penganjuran NSL tercetus selepas pihak Astro melihat sambutan yang diberikan peminat tempatan ketika perlawanan skuad kebangsaan pada Sukan SEA 2017 dan 2019.
Pada temasya itu skuad negara berjaya mencuri tumpuan ramai apabila berjaya membawa pulang pingat emas sekali gus mengekalkan status sebagai kuasa besar Asia Tenggara.

Sementara itu, pemain pasukan kebangsaan dan Johor Jewel, Pow Mei Foong, 28, pula berpendapat, NSL menjadi medan terbaik buat para pemain muda mempamerkan bakat sebenar mereka.
Pemain tinggi lampai yang bermain posisi tengah itu menambah, negara mempunyai ramai bakat baharu dalam bola jaring yang mampu mengalas cabaran skuad kebangsaan ke peringkat tertinggi pada masa depan.
“NSL juga bakal melibatkan pemain para kebangsaan dan pelapis. Sesiapa yang beraksi baik pasti akan menjadi perhatian jurulatih untuk dipanggil mewakili negara.
“Sebagai pemain kebangsaan yang beraksi selama hampir sedekad, saya rasa sudah tiba masanya negara mencari pemain pelapis yang berpotensi menerusi penganjuran liga ini,” katanya.
Pasukan negara di peringkat junior boleh dianggap sangat kuat kerana pernah menyertai Piala Dunia Remaja selain menjuarai kejohanan peringkat Asia selama beberapa tahun.
Namun apabila meningkat ke peringkat senior, prestasi pemain mula menurun disebabkan kurangnya minit permainan secara kompetitif.
“Rata-rata pasukan hebat dalam arena bola jaring dunia mempunyai liga sendiri seperti Australia, New Zealand dan England. Di Asia Tenggara, negara yang mempunyai liga cuma Singapura,” katanya.
Mei Foong berkata, rata-rata pemain dalam pasukannya terdiri daripada kombinasi muka baharu dan berpengalaman.
Jelasnya, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kemunculan pertama dalam pertandingan NSL, sebaliknya lebih kepada mencari pengalaman baharu.
Dia menambah, format pertandingan NSL yang bermain secara mingguan merupakan satu pengalaman baharu buat semua para pemain bola jaring.
“Apabila bermain secara mingguan, ia memberi peluang kepada pasukan untuk melakukan persiapan lebih rapi sebelum menempuhi perlawanan,” tegasnya.
Mei Foong yang ketika ini bekerja di ibu negara menambah, usaha pihak Astro untuk menyiarkan perlawanan NSL 2021 menerusi kaca televisyen juga harus dipuji.
Jelasnya, langkah tersebut secara tidak langsung membantu mempopularkan lagi sukan berkenaan dalam kalangan masyarakat terutamanya kaum Hawa.

“Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana untuk tampil ke depan dengan melibatkan diri dalam sukan bola jaring” tegasnya.
Bagi pemain pasukan Selangor Angels, Karishma S. Loganathan, 22, memaklumkan, dia sudah tidak sabar untuk beraksi bersama penjaring utama negara An Najwa Azizan pada NSL 2021.
Katanya, gabungan mereka pastinya memberi kelebihan kepada kem Selangor sekali gus menghadirkan gerun kepada pasukan lain yang bertanding dalam NSL 2021.
“Status An Najwa sebagai pemain pertama Malaysia beraksi di luar negara iaitu bersama kelas Australia, Greater Western Sydney Fury pada 2018 pastinya menghadirkan gerun.
“Apabila orang tahu ada An Najwa, mereka mungkin gentar. Lagipun saya adalah pasangan An Najwa dalam pasukan kebangsaan. Ia sudah memberikan kelebihan awal dari segi psikologi,” katanya.
Justeru, Karishma meletakkan sasaran untuk melangkah ke pentas final meskipun sedar bakal berhadapan cabaran hebat.














