Kelmarin, penulis menerima tangkap layar luahan seorang penjaga yang kecewa cucunya hanya bermain di sekolah selepas peperiksaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) tamat pada 15 Oktober lalu.
Katanya, sepanjang sembilan minggu sebelum cuti sekolah 20 Disember ini, murid-murid tidak diajar secara formal dan guru hanya menyuruh cucunya membuat kerja sendiri kerana peperiksaan telah selesai.
Pada pandangan penulis, adakah nenek atau datuk ini tidak tahu tugasan guru selepas peperiksaan? Ini kerana guru perlu menanda kertas, memasukkan markah, mengurus data, bertugas menjaga peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelbagai tanggungjawab lain.
Penulis percaya, jika ibu bapa atau penjaga dapat melihat realiti ini, mereka mungkin lebih memahami bahawa tempoh selepas peperiksaan bukan ‘kosong’, sebaliknya guru tetap bekerja.
Tanpa kefahaman ini, ramai ibu bapa cenderung melihat murid hanya bermain selepas selesai peperiksaan.
Di bawah luahan itu, ada pembaca dipercayai guru cuba menjelaskan bahawa selepas UASA, pihak sekolah telah merancang pelbagai aktiviti untuk melatih bakat dan mengasah kemahiran murid.
Salah seorang daripada mereka memberitahu di sekolahnya, setiap panitia melaksanakan Project-Based Learning (PBL) untuk memperkukuh pemahaman murid sepanjang tahun. Selain itu, sekolah menganjurkan showcase, pertandingan, ceramah dan kolaborasi dengan pihak luar bagi memaksimumkan pengalaman pembelajaran murid.
Ujarnya, walaupun cuti bergilir, guru tetap bersiap sedia untuk mengisi ruang kelas dengan pelbagai program yang memperkasakan kemahiran murid dari sudut akademik, sosial dan bukan akademik
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, UKM, Dr. Anuar Ahmad berpandangan, isu campur tangan sebegini berlaku secara individu dan bukan norma.
“Kita memang ada keadaan yang mana hubungan itu boleh menjadi kurang harmoni disebabkan wujud pihak yang mungkin tidak memahami atau tidak bertolak ansur. Namun hal ini berlaku secara individu. Secara umumnya, majoriti ibu bapa masih menghormati peranan dan tugas guru di sekolah,” katanya.
Dr. Anuar menekankan bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting untuk menghubungkan guru dengan ibu bapa, membina persefahaman serta komunikasi dua hala.
“Apabila PIBG aktif, ibu bapa pun tahu apa peranan sekolah dan para guru, manakala guru juga perlu menghormati sumbangan ibu bapa dalam PIBG, aktiviti sekolah.
“Jika ibu bapa dan guru sering melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan, insya-Allah dalam proses itu mereka akan lebih banyak berkomunikasi dan saling menghormati,” katanya.
Tidak dapat dinafikan, setiap ibu bapa mengharapkan setiap minit di sekolah dimanfaatkan untuk pembelajaran aktif. Dari sudut itu, rasa kecewa dan keliru memang wajar. Namun, perspektif ini kurang melihat realiti tugasan guru dan perancangan sekolah.
Membuat kerja sendiri atau bermain bukan bermakna guru ‘tidak mengajar’, dengan pendekatan ini, murid tetap terlibat dalam proses pendidikan secara menyeluruh iaitu akademik, bukan akademik, kemahiran sosial dan sahsiah walaupun aktiviti di kelas nampak santai.














