PETALING JAYA – Kerajaan komited memperkukuh sektor tenaga negara menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang digariskan di bawah strategi mampan bagi menjamin keterjaminan tenaga serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus utama adalah meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang tahun 2030, memperluas akses grid terbuka, serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu.
“Langkah ini sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga.
Selain itu, katanya, mesyuarat juga meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti (e-Mobility Service Platform) bagi menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara.
“Kerajaan Madani kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara bagi menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














