Di sebalik wajah-wajah muda yang masih berpakaian seragam sekolah, tersimpan semangat besar untuk menyelamatkan Bumi.
Empat pelajar berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Kedah itu mungkin kelihatan seperti remaja biasa, bergelak tawa di kantin, sibuk menyiapkan tugasan sekolah, namun idea mereka tentang kelestarian alam sekitar telah membawa nama sekolah ke pentas kebangsaan apabila dinobat juara pertandingan kelestarian alam Toyota Eco Youth (TEY) 2025 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Dengan kemenangan itu mereka membawa pulang hadiah RM30,000.
Bagi pasukan yang menamakan diri The Green Machine itu, perjalanan menuju kejayaan bukan sekadar tentang pertandingan, tetapi tentang kesedaran bahawa perubahan besar bermula dari langkah kecil dan langkah itu boleh dimulakan oleh sesiapa sahaja, termasuk mereka yang masih bergelar pelajar.
Berkongsi dengan K-Remaja, pasukan dianggotai Laxsyan Nanta Kumar, Stanislas Simon, Joachim Marcus Emanuel dan Muhammad Aiman Asyraff itu tidak menyangka muncul johan menerusi projek pengurusan sisa makanan.
“Pasukan kami bekerja keras untuk projek ini dan apabila diumumkan sebagai johan, semua penat lelah terasa begitu berbaloi.
“The Green Machine adalah projek yang diinspirasikan daripada lambakan sisa makanan di kantin sekolah, yang kami lihat telah mencetuskan masalah lain seperti bau yang tidak menyenangkan dan kemunculan haiwan perosak.
“Kami mahu melakukan sesuatu tentang masalah ini yang merupakan masalah harian dengan mencipta satu sistem mengurus sisa makanan,” kata Laxsyan.
Lebih manis bagi pasukan tersebut apabila guru pembimbing, Sandra Gesan turut meraih gelaran guru paling memberi sokongan (most supportive teacher).
TEY merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Toyota Malaysia bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk menyertai inisiatif kelestarian alam sekitar melalui projek kreatif dan inovatif.
Sejak diperkenalkan, program tersebut bertujuan menanam kesedaran tentang pengurusan sisa, penjimatan tenaga dan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
PARA peserta diberi peluang untuk membangunkan idea mereka sendiri, mempersembahkan projek kepada panel juri dan bekerjasama dengan komuniti serta rakan industri untuk menghasilkan impak nyata.
Tambah Laxsyan, apa yang menjadikan projek mesin pengkomposan mereka itu unik ialah penggunaan kaedah pengkomposan panas yang mempercepat proses pereputan melalui haba dan aliran udara, seterusnya menjadikan sisa makanan terurai dalam masa beberapa hari berbanding beberapa minggu.
“Kami juga menjadikannya automatik dan mudah digunakan, supaya sesiapa sahaja boleh mengendalikannya tanpa banyak usaha.
“Namun, apa yang benar-benar menjadikannya istimewa ialah hubungannya dengan komuniti kami.
“Menerusi projek ini, kami bukan sekadar membina sebuah mesin, tetapi mencipta satu gerakan yang melibatkan sekolah, pasar dan rakan kerjasama tempatan untuk bersama-sama mengurangkan sisa makanan,” katanya.
Kejayaan membanggakan itu tidak datang tanpa cabaran. Menurut Laxsyan, salah satu cabaran terbesar yang dihadapi pasukan adalah untuk membina mesin pengkomposan itu sendiri.

“Pada awalnya, banyak perkara tidak berjalan seperti yang dirancang, misalnya suhu tidak stabil dan kadangkala pula, mesin tidak berfungsi seperti kami jangkakan. Kami terpaksa menguji, kemudian gagal dan membina semula berulang kali.
“Pengurusan masa juga mencabar kerana kami perlu menyeimbangkan antara kerja sekolah dan projek ini. Namun, kami tidak pernah berputus asa.
“Apa yang kami buat adalah sentiasa menyokong antara satu sama lain, bahkan kami juga berterima kasih apabila mendapat bimbingan daripada guru dan mentor, lalu terus memperbaiki sehingga mesin berfungsi dengan sempurna,” katanya yang mengakui ia benar-benar mengajar remaja sepertinya erti sebenar kerja berpasukan.
Pasukan itu juga melihat pertandingan sedemikian sebagai medium menterjemah idea menerusi ciptaan dan inovasi sendiri.
“Sebelum ini, ya, kami ambil peduli tentang alam sekitar, namun menerusi program TEY 2025 ini, ia benar-benar membuka mata kami bahawa isu kelestarian benar-benar berlaku dalam komuniti kami.
“Program ini membantu dan menggalakkan kami untuk berfikir dengan lebih kreatif, merancang dengan lebih baik dan kekal fokus dalam menangani isu alam sekitar,” katanya.
Pemenang kategori Anugerah Media Sosial Terbaik iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah, berkongsi rasa teruja kerana tidak menyangka kreativiti mereka dalam menghasilkan satu kempen media sosial tentang kelestarian alam sekitar telah berjaya memikat hati juri.
Pasukan yang dianggotai Saidina Emir Yusuf Mohd Saidinar, 16, Chakraphat A/L Sang, 17, Muhammad Halif Khairul Anuar, 17, Muhammad Aliff Zainol Abiddin, 16, Muhammad Zahir Iman
Zainudin, 16, Alif Affan Fitri Azlizan, 16, Muhammad Hadif Khairul Anuar, 17, dan Kashful Azeem Zahrul Azmi, 16, itu menghasilkan kandungan yang mengangkat tema 3R iaitu ‘Reduce, Reuse, Recycle’.
Pasukan itu juga meraih tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.
“Platform pilihan kami adalah Instagram dan TikTok kerana kami melihat kebanyakan golongan belia khususnya di Kedah cukup aktif dalam dua platform ini.
“Pasukan kami menghasilkan visual, kapsyen dan video yang bukan sahaja menarik tetapi juga mudah difahami supaya boleh ditonton orang ramai,” ujar Saidina Emir Yusuf selaku wakil pasukan.
Tambahnya, menerusi program itu, mereka belajar bahawa media sosial bukan cuma sekadar trend, tetapi juga satu senjata hebat untuk memberi inspirasi dan menyebarkan kesedaran.
“Kami percaya TikTok dan Instagram boleh memacu perubahan dalam kalangan remaja kerana platform ini membolehkan kami menyampaikan mesej secara kreatif dan mudah difahami.
“Apabila remaja melihat rakan-rakan mereka mengamalkan tabiat positif, ia memberi inspirasi kepada mereka untuk melakukan perkara yang sama.
“Platform ini juga membantu membina komuniti yang prihatin terhadap alam sekitar dan bersedia mengambil tindakan bersama-sama,” katanya.
Saran Saidina Emir Yusuf buat remaja dan belia yang mahu melakukan perubahan menerusi media sosial agar mulakan dengan langkah kecil, namun berterusan.
“Gunakan kandungan yang kreatif, namun mudah difahami. Ini kerana, usaha berterusan biarpun kecil boleh membawa kepada perubahan besar. Selain itu, penyertaan dalam program seperti TEY juga boleh membantu anda belajar dan membesarkan lagi kempen anda,” katanya.















