MIRI – Kru kapal yang hilang ketika mandi di sungai Kampung Hilir, Kuala Tutoh, Baram ditemui dalam keadaan terapung dengan tangan kirinya hilang dipercayai dibaham buaya pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat lelaki berusia 21 tahun itu dijumpai anggota bomba ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 9.30 pagi.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak satu kilometer dari lokasi kali terakhir dia dikhuatiri lemas. Tangan kirinya hilang dipercayai dibaham buaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa dilaporkan hilang pada Rabu lalu ketika mandi di sungai Kampung Hilir yang kedalaman sembilan meter.
Kejadian berlaku pada pukul 4 petang ketika mangsa berenang menuju ke kawasan pantai berhampiran yang terletak tidak jauh dari kapal berlabuh. Bagaimanapun, kapal tersebut kemudian beralih ke tengah sungai.
“Semasa berenang, mangsa dilaporkan hilang dan kru yang lain tidak sempat memberikan bantuan. Tiada tindakan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa kerana kawasan itu dikatakan pernah dihuni empat ekor buaya sebelum ini,” katanya. KOSMO! ONLINE














