fbpx
Azmir Saifuddin Mutalib kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas bagi tempoh 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.

Azmir Saiduddin kekal CEO Finas, tekad perkukuh industri filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi tempoh 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.

Menerusi kenyataan media, Azmir berkata, keutamaan kini adalah pelaksanaan pindaan Akta Finas 1981 (Akta 244) bagi misi penggal kedua lantikannya dalam menerajui agensi itu dengan memperkemas perundangan dan tadbir urus industri perfileman bagi melindungi kebajikan kru produksi, memodenkan pelesenan serta menyokong model pekerjaan kreatif kontemporari.

“Fokus kedua ialah Pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025 hingga 2035 yang menetapkan pelan pembangunan 10 tahun membabitkan Malaysia sebagai Hab Industri Kreatif ASEAN termasuk Pemerkasaan IP Monetization dan pasaran eksport.

“Tidak ketinggalan, pembangunan produser dan ‘showrunner’ tempatan, kerjasama filem ‘financing’ usaha sama penerbitan antarabangsa, penyelarasan naratif kebangsaan yang progresif dan kerjasama strategik industri pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmir berkata, Insentif Galakan Industri Filem Bernilai RM110 Juta juga diperuntukkan untuk menggalakkan penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, RM10 juta dikhususkan bagi kandungan berteraskan semangat kenegaraan, bagi memperkukuh jati diri dan identiti nasional melalui medium kreatif.

“Selain itu, fokus keempat adalah Dana Belia Kreatif MADANI yang bertujuan melahirkan generasi pencipta kandungan berilmu, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik termasuk sokongan pembangunan bakat kampus dan belia komuniti di seluruh negara,” katanya.

Azmir berkata, dalam konteks landskap industri perfileman, Malaysia dianggap berada dalam kedudukan stabil kerana ekosistem pawagam kembali stabil dengan potensi pertumbuhan jangka panjang.

“Platform OTT antarabangsa seperti iQiyi, Viu, Astro dan Netflix terus melabur dalam drama bersiri tempatan dan memanfaatkan insentif FIMI.

“Pada masa sama, siri seperti Bidaah, One Cent Thief dan Nenek Si Bongkok Tiga membuktikan pasaran kandungan Malaysia relevan di peringkat global,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Azmir menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dah Ahli Perbadanan Finas atas kepercayaan diberikan.

“Ini adalah wajah baharu Finas. Melalui pindaan Akta Finas 1981 dan penambahbaikan DFN, Finas akan memberi perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra industri.

“Kami akan memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Klang sebagai pusat kecemerlangan produksi serta memperluas program infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak bagi membangunkan Borneo Content sebagai jenama strategik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Finas komited untuk merakyatkan dan meletakkan industri filem Malaysia sebagai industri yang dinamik, mampan, inklusif dan diiktiraf di persada global. Industri filem ini juga mencerminkan identiti pelbagai bangsa serta menyumbang kepada perpaduan dan ekonomi negara,” katanya.

Sejak memulakan tugas sebagai CEO pada 2023, antara pencapaian Azmir adalah memastikan kelangsungan operasi pawagam dan rantaian perniagaan produksi melalui ‘engagement’ berstruktur bersama penggiat industri dan pengendali panggung, dalam aspek pemulihan ekosistem pasca pandemik.

Selain itu, filem tempatan turut menunjukkan pertumbuhan kukuh di mana kutipan filem tempatan mencatat kira-kira RM180 juta (sehingga Oktober lalu) berbanding RM170 juta sepanjang tahun lalu yang turut menyaksikan naskhah Malaysia mengatasi filem Hollywood di pasaran tempatan tiga tahun berturut-turut.

Kejayaan melalui Skim Wajib Tayang dan rundingan penerbit serta operator panggung wayang terus meningkatkan kepercayaan penonton terhadap karya tempatan.

Filem produksi tempatan turut menyerlah di arena global apabila filem Malaysia seperti Abang Adik, Tiger Stripes, Raintown serta Imam menembusi festival luar negara yang meletakkan Malaysia sebagai sumber sinema berkualiti yang sedang berkembang.

Kemuncak Filem dan Televisyen ASEAN 2025 di sini, baru-baru ini turut menyaksikan termeterinya deklarasi komitmen kolektif generasi baharu rantau ini terhadap integriti kreatif, keterangkuman budaya dan kepelbagaian naratif sinema Asia Tenggara.

Deklarasi ini mengangkat Malaysia sebagai pengerak kepimpinan budaya serantau, selari dengan aspirasi negara sebagai hab pertumbuhan industri kreatif ASEAN.

Terdahulu, Azmir mula memegang jawatan sebagai CEO Finas pada 1 November 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI